
PEGAWAI TADBIR NEGERI DISERU TURUN PADANG, PEKA, CAKNA DAN SELESAIKAN MASALAH RAKYAT – NORIZAN

PADANG TERAP (03.01.2026) – Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) diseru agar sentiasa turun padang bagi melihat sendiri permasalahan yang dialami oleh rakyat. Walaupun kehadiran pegawai tidak semestinya menyelesaikan masalah atau kesulitan rakyat namun ianya suatu perkara yang akan mengembirakan rakyat dan dianggap permasalahan mereka mendapat perhatian pihak berwajib.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata semua pegawai KCS adalah nadi dan tulang belakang kepada pentadbiran Negeri Kedah. Sekiranya pegawai-pegawai ini bersatu-padu dan bersama-sama bergerak dalam satu pasukan, ianya akan memberi gambaran yang kuat kepada masyarakat di luar bahawa kekuatan yang ada ini adalah penentuan halatuju bagi mencapai dasar-dasar Kerajaan Negeri.
“Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri merupakan yang tertua di Malaysia dan kita seharusnya berbangga kerana berada dalam institusi KCS ini. Oleh itu, saya menekankan bahawa kita mesti bergerak dalam satu pasukan untuk memberikan komitmen yang tinggi kepada rakyat di negeri ini.
“Pada tahun 2026 ini, saya menyeru semua KCS perlu sentiasa turun padang serta mempunyai satu pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat kerana kita perlu menjiwai denyut nadi rakyat ‘Think State, Think the People’. Ini adalah iltizam kita pada tahun ini supaya kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
“Banyak pencapaian yang kita telah capai di mana pada tahun 2025 kita mencapai hasil yang tertinggi sekali berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup hebat menunjukkan kerja kuat dan komitmen serta peranan masing-masing bagi meningkatkan hasil untuk negeri ini.
“Saya juga mengucapkan syabas dan terima kasih di atas pencapaian-pencapaian semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua Pegawai-pegawai Daerah dengan kejayaan dan pelbagai anugerah di peringkat Kebangsaan yang menunjukkan bahawa kita bukan berada di belakang sebaliknya kita setanding di peringkat Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Amanat Majlis Perjumpaan Tahun Baharu 2026 Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) Bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Dewan SMK Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Dr Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin; Pengarah Tanah Dan Galian Negeri, Dato’ Mohd Arof Darus; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Dr Nadzman Mustaffa dan Pegawai Daerah Padang Terap, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad.
Dalam perkembangan sama, Norizan berkata mutu perkhidmatan dan penyampaian perlu dilihat dengan lebih serius kepada rakyat dengan menggunakan khidmat Penghulu, MKK dan sebagainya. Jangan mengharap laporan dari pihak-pihak tertentu sahaja yang kemungkinan menyimpang dari maksud sebenar tanpa kita sendiri yang turun padang dan melihatnya.
“Pegawai-pegawai juga mesti peka dengan keadaan setempat serta mengambil cakna akan masalah yang dihadapi oleh rakyat setempat. Sebagai pegawai kerajaan perlu peka tentang kehendak yang diingini oleh rakyat dan masyarakat, peka dengan apa yang kerajaan hendak serta peka dengan perkara-perkara yang boleh membantu kerajaan,” ujarnya.
Terdahulu, Norizan telah menyertai Program Kayuhan Santai bersama Pegawai Tadbir Negeri Kedah sejauh 11 kilometer di mana sepanjang kayuhan tersebut, para peserta turut ke beberapa lokasi pilihan untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada beberapa orang penduduk tempatan serta mengadakan sesi gotong-royong di Surau Kampung Sungai Kechik, Kuala Nerang.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed