
LSANK BUDDIES TINGKATKAN KESEDARAN AWAM CINTAKAN SUMBER AIR
ISNIN (22.04.2024)
BANDAR BAHARU – Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2024 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman bertepatan dengan hasrat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk mempromosikan LSANK tentang peranan dan fungsinya kepada semua warga Kedah dan daerah Bandar Baharu khususnya.
Program ini juga menghimpunkan semua jabatan dan agensi di bawah Ahli Lembaga Pengarah LSANK seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Alam
Sekitar Negeri Kedah, Jabatan Mineral Dan Geosains Kedah / Pulau Pinang / Perlis, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Kedah (PlanMalaysia@Kedah) dan rakan strategik LSANK iaitu Majlis Daerah Bandar Baharu dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata antara pengisian program yang disertai seramai lebih 500 orang pada hari ini adalah Pameran Mini, LSANK Buddies dan Aktiviti Sukan Rakyat yang merangkumi lima acara utama iaitu isi air di dalam botol, bowling kelapa, terompah gergasi, tarik tali, pukul bantal, aktiviti River Gruise serta cabutan bertuah.
“Saya berharap agar penyertaan orang ramai dalam aktiviti yang dianjurkan pada hari ini dapat memberikan manfaat dan informasi sepanjang program ini berlangsung.
“Untuk makluman semua, LSANK Buddies merupakan aktiviti utama yang merujuk kepada pembersihan sungai untuk meningkatkan kesedaran awam dan menyemai nilai murni cintakan sumber air dan alam sekitar di dalam kehidupan di Daerah Bandar Baharu khususnya. LSANK Buddies pertama kali diperkenalkan sebagai salah satu Corporate Social Responsibility(CSR) untuk bersama-sama memelihara dan memulihara sumber air di Negeri Kedah agar terus terpelihara di masa hadapan.
“Program yang dianjurkan oleh LSANK pada hari ini juga dapat menanamkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya berusaha untuk sumber air dipelihara dan meningkatkan kualitinya. Oleh yang demikian, pihak LSANK juga telah mewujudkan sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan dalam memastikan sumber air terpelihara dan kualitinya terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya Sempena Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2024 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Bandar Baharu di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam Dan NGO Negeri Merangkap ADUN Kulim, Wong Chia Zhen; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Syed Khairul Anuar Syed Abidin; ADUN Bandar Baharu, Dr Mohd Suffian Yusoff; Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri, Ahmad Solihin Budarto; Pengarah Sumber Air Negeri, Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa dan Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Noor Ismail.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Jabatan Pangairan Dan Saliran Malaysia sedang menjalankan Kajian National Water Balance System (NAWABS) Sungai Kerian bagi memastikan sumber air dapat memenuhi keperluan sektor domestik, industri dan pengairan.
“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu.
“Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambi tindakan yang berterusan memelihara sumber air terutamanya air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air,” ujarnya.
Comments are closed