
PELAJAR UNIVERSITI LUAR NEGARA MERIAHKAN PESTA ANGIN TIMUR ANTARABANGSA KUBANG PASU
JERLUN (22 Februari 2025) – Pesta Angin Timur Antarabangsa Daerah Kubang Pasu telah diadakan di Kampung Matang Kenanga, Jerlun bersempena Tahun Melawat Kedah (TMK-2025). Program berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Februari 2025 itu turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, Mini Zoo, Street Soccer, Perlawanan Bola Sepak Antarabangsa Kain Pelikat, Perlawanan Bola Baling Kain Batik, Pertunjukan Wau dan lain-lain. Pesta ini berjaya menarik 3,000 lebih penyertaan orang ramai samada berkunjung untuk melihat sendiri pameran yang diadakan dan tidak kurang juga yang mengambil bahagian dalam acara-acara yang dipertandingkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata Pesta Angin Timur ini merupakan acara tahunan di Kampung Matang Kenanga dan ini merupakan kali keempat ia diadakan. Penganjuran program ini sesungguhnya amat dialu-alukan kerana selain mempromosi kampung ini dan Daerah Kubang Pasu ia tentunya memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Kedah, di samping merancakkan lagi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).
“Apa yang lebih menarik perhatian saya adalah inisiatif penganjur mempromosi tanah pertanian sebagai ruang yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti dengan pelbagai aktiviti lain di luar musim mengerjakan sawah. Usaha ini secara langsung mengangkat imej Kedah sebagai Jelapang Padi Negara disamping mendekatkan khalayak dengan sektor pertanian yang cukup besar sumbangannya kepada rakyat negeri ini.
“Saya juga amat teruja dengan kreativiti penganjur yang berjaya menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam acara-acara yang diadakan. Ini bukan sahaja memberikan pengalaman unik kepada para pengunjung tetapi juga membantu memperkenalkan warisan budaya kita kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Usaha mengadunkan antara unsur tradisional dan moden ini memperlihatkan bahawa kita tidak melupakan akar budaya kita walaupun berada dalam arus pemodenan.
“Allah SWT mengurniakan kekayaan sumber daya pelancongan yang tidak terjumlah kepada Negeri Kedah ini. Marilah kita manfaatkan semua kurniaan ini untuk dikongsi dengan pelancong dan pelawat yang akan kita sambut dan rai dengan sebaik-baiknya supaya mereka benar-benar menikmati apa yang kita maksudkan dengan ‘Experience Kedah’.
“Saya berkeyakinan penuh bahawa dengan usaha kita bersama hasrat untuk meletakkan Kedah dalam barisan destinasi pelancongan terulung di rantau ini tidak sukar dicapai. Sesungguhnya besarlah harapan saya agar Pesta Angin Timur ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Penutup Pesta Angin Timur Antarabangsa Daerah Kubang Pasu di Kampung Matang Kenanga di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim; ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Ahli Parlimen Jerlun, Dr. Abdul Ghani Ahmad dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Mahazi berkata pihak Pejabat Daerah Kubang Pasu akan menjadikan Kampung Matang Kenanga ini sebagai satu contoh kepada 432 buah Kampung yang ada di Daerah Kubang Pasu selain sebagai mata dan telinga kepada kampung-kampung yang lain.
“Oleh kerana Pesta Angin Timur ini turut diadakan di tempat-tempat lain dan menyebabkan berlaku pertembungan namanya, maka pada hari ini saya mengumumkan pertukaran nama sambutan yang akan diadakan pada tahun hadapan dengan nama ‘ PESTA BENDANG KUBANG PASU KEDAH DARUL AMAN @ MATANG KENANGA’.
“Pesta Bendang ini akan diadakan dengan lebih besar lagi dan dengan acara-acara yang lebih banyak dan mencabar. Diharap pengunjung-pengunjung yang datang dapat berazam untuk hadir lagi pada tahun hadapan dan bersedia memenuhi cabaran menyertai acara yang akan dipertandingkan nanti. Kami tidak akan melihat sangat kepada kuantiti tetapi akan lebih tertumpu kepada kualiti.
“Pesta pada kali ini amat membanggakan kita kerana terdapat juga penyertaan seramai 250 orang pelajar universiti luar negara dari termasuk dari Uzbekistan, Pakistan, Jepun, Thailand, Indonesia, Brunai, Filipina, Kemboja, Singapura, Vietnam, Myanmar, Laos dan Timur-Laste. Mereka telah berkampung di sini dan turut menyertai acara-acara yang dipertandingkan dan juga menyaksikan persembahan-persembahan penduduk dari pelbagai kaum di Negeri Kedah,” ujarnya.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed