
KERAJAAN NEGERI SEDIA BERI BANTUAN DAN BIMBINGAN KEPADA PETANI TINGKATKAN PRODUKTIVITI DAN HASIL
KHAMIS (14.08.2025)
KUBANG PASU – Kerajaan Negeri Kedah melalui Pelan Strategik Portfolio Pertanian dan Perladangan telah menetapkan halatuju yang jelas iaitu Memacu Pertanian Moden dan Berinovasi melalui sektor yang stabil, relevan dan menjadi pemangkin sosio-ekonomi rakyat, meningkatkan infrastruktur dan logistik, mengadaptasi teknologi fertigasi pintar, mengembangkan pasaran produk, membangunkan Modal Insan melalui Agropreneur Muda, integrasi
pelajar dan siswazah serta mentor industri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan Dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Abd Ghani berkata Kerajaan Negeri tidak mahu Kedah hanya menjadi pengeluar bahan mentah sahaja sebaliknya kita mahu Kedah menjadi negeri yang menghasilkan produk berkualiti tinggi, berjenama, bernilai tambah dan dikenali di seluruh dunia dalam sektor pertanian.
“Tanda -tanda kejayaan itu sudah ada dì depan mata kita, contohnya Melon Premium Kubang Pasu sudah sampai ke Singapura dan Thailand, yakni menembusi pasaran luar. Kopi Robusta Sintok di Sintok Valley berdekatan UUM sedang membina nama sebagai ikon baharu dan terbesar di Kedah.
“Sebanyak 8,000 pokok Nanas MD2 dari FGV Laka Selatan dah kita eksport ke China, Jepun, Egypt dan Singapura manakala Jagung dan Harumanis Daerah Kubang Pasu antara tanaman yang terbesar di Kedah membuktikan Ini semua merupakan kejayaan petani di Kedah.
“Kerajaan Negeri akan terus berada di belakang para petani dan memberi dasar yang mesra pelaksana, mempermudah proses bantuan dan membuka pintu pasaran seluas-luasnya kerana kita percaya sektor ini adalah nadi negeri. Jika sektor ini maju, rakyat akan sejahtera, ekonomi akan kukuh dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penutup Hari Ladang Daerah Kubang Pasu Sempena Jelajah Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Negeri Kedah Tahun 2025 di Ladang 905, Kg. Kubang Betong, Mukim Kubang Pasu di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim; Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.
Dalam perkembangan sama, Rozaidi berkata Pejabat Pertanian Daerah Kubang Pasu telah memulakan langkah bagi memperkenalkan Program Mentor Mentee Tanaman bagi kategori tanaman Harumanis dan tanaman Fertigasi Meja mulai 2025. Program ini dimulakan bagi mencungkil ‘market champion’ di mana Mentor akan memperkenalkan Standard of Procedure (SOP) dengan bimbingan Jabatan Pertanian bagi membimbing Mentee yang didaftarkan sebagai peserta bimbingan Jabatan Pertanian. Kaedah ini boleh memanfaatkan kerjasama dua (2) pihak iaitu Mentor dan pejabat pembimbing masing-masing.
“Pelbagai latar belakang peserta yang dipilih telah menjadi pemula atau starter program ini. Individu B40, M40, T20, komuniti dan syarikat antara yang terlibat dalam usaha sama mengeluarkan produk sayuran daun. Sasaran pendapatan bulanan boleh mencapai RM3,000 dengan pengeluaran RM200 per meja dengan kapasiti 16 buah meja bagi seorang peserta.
“Kaedah ini merupakan alternatif pengeluaran sayuran berdaun berbanding kaedah konvensional atas tanah dan pengurusan tanaman boleh dibuat secara internet Of Things (IOT), jadi kaedah ini boleh menarik minat anak muda menceburi bidang pertanian,” ujarnya.
Program Hari Ladang Daerah Kubang Pasu yang berlangsung selama dua (2) hari bermula kelmarin adalah anjuran Pejabat Pertanian Daerah Kubang Pasu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kubang Pasu sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang akan diadakan pada 28 hingga 31 Ogos 2025 di Taman Jubli Emas, Alor Setar.
Sumber: Warta Kedah




Comments are closed