
MERDEKAKAN JIWA UNTUK MENGHAYATI ERTI KEMERDEKAAN SEBENAR – SANUSI

SABTU (30.08.2025)
ALOR SETAR – Merdekakan jiwa untuk menghayati kemerdekaan yang sebenar. Jiwa yang merdeka tetap akan merdeka meskipun jasad dipenjara. Jiwa yang terpenjara tetap akan terpenjara meskipun jasadnya merdeka.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kemerdekaan mesti dipelihara, dikawal dan dijaga. Pengisiannya haruslah ditentukan berpaksi pada nilai-nilai jati diri yang berteraskan budaya hidup rakyat negara ini. Tidak ada maknanya kemerdekaan tanpa kedaulatan, dan tidak ada kedaulatan yang hanya semata-mata laungan dan teriakan slogan sahaja.
“Malam ini kita meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air kita yang ke 68. Sejak 1957, inilah tarikh yang akan kita raikan saban tahun dan kita rasa diri kita sangat bertuah dan beruntung sebagai warga sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan adalah satu perkara yang wajib kita syukuri. Kita semua sedia maklum bahawa untuk mendapatkan kemerdekaan, ia memerlukan perjuangan, darah dan nyawa menjadi taruhan.
“Justeru, kita sebagai generasi yang hidup dalam nikmat kemerdekaan, jangan ambil mudah. Kemerdekaan mesti dipelihara. Pengisiannya perlu ditentukan dan dikawal supaya ia kekal untuk selama-lamanya walaupun kita sudah tidak ada lagi di dunia. Kita perlu pastikan supaya nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hari ini, semangatnya terus membara sebagaimana ia telah membakar semangat tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air kita ini dahulu. Semangat cintakan agama, bangsa dan negara.
“Kita juga perlu mengambil pengajaran agar kemerdekaan yang kita kecapi ini dapat kita pertahankan, jangan terjadi seperti apa yang berlaku di Palestin mahupun negara-negara lain yang dijajah. Dahulu, orang Yahudi datang ke Palestin untuk menumpang setelah mereka dihalau dari negara-negara Eropah. Lihatlah apa yang berlaku hari ini. Penjajahan bukan hanya pada penjajahan politik atau sempadan negara malah penjajahan minda dan cara hidup juga tidak kurang bahaya. Tidak ada makna negara kita merdeka jika minda dan cara hidup kita masih mengikut atau taksub dengan budaya penjajah.
“Sudah 68 tahun negara kita merdeka. Kemerdekaan yang kita kecapi ini adalah daripada perjuangan pahlawan-pahlawan kita yang terdahulu, alim ulama, nasionalis dan mereka yang benar-benarkan cintakan tanah air, mereka yang sedia memberikan nyawa dan darah untuk membebaskan negara kita daripada penjajah. Itulah pejuang yang patut kita raikan, yang patut kita kenang dan hargai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Ambang Merdeka Ke-68 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025 di Taman Jubli Emas, Suka Menanti di sini, malam tadi.
Hadir sama Isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr Nadzman Mustaffa.
Terdahulu Mohd Salleh dalam ucapannya berkata dengan adanya kemerdekaan membolehkan kita melihat Jalur Gemilang dikibar di mana-mana sahaja. Sebelum kita dihidangkan dengan nikmat kemerdekaan ini, nenek-moyang kita telah melalui detik-detik perit di bawah cengkaman penjajahan. Mereka disekat daripada menentukan masa depan sendiri.
“Penjajahan telah menyaksikan anak bangsa kita diinjak dan dihalau dari tanahair, dipinggirkan dari pendidikan dan pekerjaan. Hari ini, lihatlah perbezaannya di mana kita semua bebas bersuara, membentuk kerajaan sendiri, memilih pemimpin melalui demokrasi. Anak-anak kita telah membesar, belajar dan membina masa hadapan tanpa halangan dan lain-lain lagi.
“Itulah nikmat kemerdekaan yang seharusnya disyukuri oleh kita semua pada hari ini. Kemerdekaan ini bukannya datang bergolek, ia dibayar dengan keringat dan air mata bahkan dengan darah para pejuang termasuk harta dan nyawa. Kini adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai jasa-jasa mereka yang terdahulu dengan mengisi kemerdekaan ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah






Comments are closed