
LEBIH 40 RIBU RAKYAT KEDAH BANJIRI DATARAN MEDAN BANDAR SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-68
AHAD (31.08.2025)
ALOR SETAR – Seramai lebih 40,000 rakyat Kedah membanjiri perkarangan Dataran Medan Bandar dan kawasan sekitarnya bagi bersama-sama meraikan Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Kedah yang telah disempurnakan oleh Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
Istiadat dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Utama ‘Hormat DiRaja’ serta nyanyian lagu ‘Allah Selamat Sultan’ oleh Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Batalion terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat diketuai Mejar Mohd Afiq Ismail diiringi gabungan Pancaragam Batalion Ke-2 dan Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pimpinan Pegawai Waran 2, Drum Mejar Zulkarnain Hashim.
Acara terbang lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 melibatkan aset udara Angkatan Tentera Malaysia iaitu 2 buah pesawat EC 120B
dari INSPEN 2 serta 5 buah pesawat PC-7 MkII dari INSPEN 1.
Kemudian acara diserikan dengan persembahan koir oleh Koir Jabatan Pendidikan Negeri Kedah yang mendendangkan dua buah lagu iaitu ‘Demi Negara’ dan ‘Sehati Sejiwa’ melibatkan pelajar dari SMK Bandar Baru Darulaman dan SMK Darulaman Height.
Seterusnya Aksi Penerjunan Bebas dari Pasukan Khas Laut (PASKAL) melibatkan 4 orang anggota PASKAL yang membawa Bendera Malaysia, Bendera Negeri Kedah, Bendera TLDM dan Bendera PASKAL. Penerjun digugurkan di ketinggian 4,000 kaki menggunakan Pesawat Fennec dari Skuadron 502, Markas Udara TLDM.
Bilangan Kontinjen yang terlibat dalam perbarisan dan perarakan pada tahun ini adalah sebanyak 119 kontinjen mewakili Jabatan dan Agensi Kerajaan (Negeri & Persekutuan), PBT/ Badan Berkanun/ Swasta, Sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, Pasukan Beruniform dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Selepas Istiadat Perbarisan dan Perarakan, turut diserikan persembahan Tari Pencak Silat, Tarian Kipas, Tarian Kolattam, Tariam Met Ketok, Lagu Malaysia Truly Asia, Drum Show SK Pendang diakhiri dengan penyampaian hadiah kawad kaki sempena perbarisan kemerdekaan.
Berangkat hadir sama Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff; Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim dan Cucunda Baginda, Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Istiadat Perbarisan dan Perarakan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri, Dato’ Siti Ashah Ghazali.
Pameran aset ketenteraan Rejimen Askar Melayu Diraja turut diadakan di Dataran Medan Bandar dengan mempamerkan pelbagai aset ketenteraan antaranya 2 buah kenderaan berperisai pelbagai fungsi amfibia GEMPITA oleh 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanize yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan DEFTECH, 3 buah kenderaan jenis B juga akan dipamerkan terdiri daripada sebuah (1) GK MK II (6 Skuadran Semboyan Briged), sebuah (1) Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) dan sebuah (1) kenderaan Pembawa Mortar (KPM).
Sumber: Warta Kedah












Comments are closed