
PANCARAGAM SMK CHE TOM MUNCUL JUARA ANTARA JUARA
AHAD (31.08.2025)
ALOR SETAR – Pancaragam SMK Che Tom dinobatkan sebagai Juara Antara Juara sempena Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Kedah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
Sebanyak 6 kategori telah dipertandingkan sempena Istiadat Perbarisan dan Perarakan tersebut dimana Juara Antara Juara memperolehi markah tertinggi berbanding juara-juara setiap kategori dengan membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM3,000.
Bilangan Kontinjen yang terlibat dalam perbarisan dan perarakan pada tahun ini adalah sebanyak 119 kontinjen mewakili Jabatan dan Agensi Kerajaan (Negeri & Persekutuan), PBT/ Badan Berkanun/ Swasta, Sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, Pasukan Beruniform dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan hadiah bagi Kategori Pancaragam Sekolah Rendah dan Menengah yang dimenangi oleh Pancaragam SK Kuala Ketil dan Pancaragam SMK Che Tom.
Johan Kategori Badan Beruniform Institusi Pendidikan, Kolej, IPTA/IPTS pula dimenangi oleh Kor Kadet Polis SMK Sultanah Bahiyah dan Bagi Kategori Persatuan/NGO/Pertubuhan/Kelab dimenangi oleh Persatuan Bekas RAMD yang disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah turut mencemar duli berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori Kerajaan, PBT, Badan Berkanun dan Swasta yang dimenangi oleh Kontinjen Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) di samping menyampaikan hadiah untuk Kategori Kontinjen Paling Menarik yang dimenangi oleh Ayam Bismi dan Kategori Juara Antara Juara dimenangi oleh Pancaragam SMK Che Tom.
Johan bagi semua kategori telah membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM3,000 manakala Kategori Kontinjen Paling Menarik membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM1,000. Pancaragam SMK Che Tom dinobatkan sebagai Juara Antara Juara pula pulang bersama piala pusingan, piala iringan dan RM3,000.
Berangkat hadir sama Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff; Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim dan Cucunda Baginda, Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mej (B) Mansor Zakaria merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perbarisan dan Perarakan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri, Dato’ Siti Ashah Ghazali.
Sumber: Warta Kedah









Comments are closed