
KERAJAAN NEGERI KOMITED MENYOKONG PEMBANGUNAN AGRO MAKANAN MELALUI DASAR PROGRESIF
SABTU (31.08.2025)
ALOR SETAR – Sepanjang empat hari penganjuran Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK 2025) telah menyaksikan satu penganjuran yang bukan sahaja menghimpunkan pelbagai pameran daripada jabatan kerajaan, agensi, usahawan tani dan pemain industri, tetapi juga memperlihatkan keterlibatan aktif semua pihak dalam memacu sektor Agromakanan Negeri Kedah ke hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata penganjuran HPPNK 2025 telah menampilkan 16 Kluster Pameran khusus untuk mengangkat sektor agromakanan sebagai salah satu sektor yang berpotensi untuk diceburi oleh seluruh lapisan masyarakat selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana pendapatan.
”Pemilihan tema HPPNK 2025 iaitu ‘Merentasi Tradisi’ adalah sangat bertepatan dengan tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Pelbagai pengisian, aktiviti dan program seperti Kepelbagaian Pameran, Demonstrasi Lapangan, Jaringan Antara Peladang, Penyelidik dan Pihak Berkepentingan, Kelestarian Dalam Pertanian seperti Biodiversiti, Penglibatan Menyeluruh Dari Sektor Huluan Hingga Hiliran Dan Syarikat Dalam dan Luar Negara dan sebagainya telah dianjurkan dengan jayanya.
”Apa yang lebih penting adalah teknologi dan inovasi yang dihasilkan dapat diterima guna dan memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan bagi memajukan serta merancakkan industripertanian dan agromakanan negara dalam menghadap pelbagai rintangan dalam era yang serba mencabar ini.
”HPPNK turut memberi ruang dan peluang kepada peniagapeniaga kecil untuk menjual produk-produk mereka sekaligus mempromosi sehingga ke pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penutup Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2025 (HPPNK 2025) di Taman Jubli Emas, Suka Menanti di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah BPEN, Rizawati Mohamad @ Ramli; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman; Presiden CUEPACS, Dato’ Dr. Adnan Mat; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim; Pengarah Veterinar Negeri Kedah, Dr. Shaharul Amar dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pemenang anugerah dan peserta pameran yang telah menampilkan usaha terbaik mereka. Anda semua adalah contoh dan inspirasi kepada generasi muda untuk melihat bahawa bidang pertanian ini adalah bidang yang berpotensi, berdaya maju dan berimpak tinggi.
”Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dalam menyokong pembangunan Agro Makanan melalui dasar yang progresif, program pembangunan kapasiti serta insentif yang bersasar. Kita mahu melihat lebih ramai peladang moden, penternak berteknologi, nelayan yang berinovasi, serta usahawan tani yang mampu menembusi pasaran global.
”Marilah kita terus bergerak ke hadapan dengan semangat kolaboratif antara kerajaan, industri dan rakyat bagi memastikan sektor Agromakanan negeri Kedah kekal mampan, berdaya saing dan menjadi peneraju dalam jaminan makanan negara,” ujarnya.
Acara penutup HPPNK 2025 diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk Reruai Jabatan Agensi Terbaik HPPNK 2025 yang dimenangi oleh Jabatan Veterinar Negeri Kedah manakala Reruai Daerah Terbaik HPPNK 2025 dimenangi Daerah Kubang Pasu dan Reruai Tercantik HPPNK 2025 dimenangi oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah.
Sumber: Warta Kedah









Comments are closed