
PERASMIAN OPERASI BAS PEMERIKSAAN KESIHATAN BERGERAK YSB – NKF KEDUA

KHAMIS (18.09.2025)
ALOR SETAR – Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dengan kerjasama National Kidney Foundation (NKF) hari ini telah melancarkan operasi Bas Pemeriksaan Kesihatan Bergerak YSB-NKF baharu yang disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Syafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim merangkap Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah.
Bas ini dilengkapi dengan enam jenis pemeriksaan asas kesihatan iaitu pemeriksaan buah pinggang, ujian tekanan darah, ujian gula dalam darah, ujian kolesterol, indeks jisim badan (BMI) serta kaunseling secara individu. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2012, Bas Pemeriksaan Kesihatan Bergerak ini telah memberi manfaat kepada lebih 190,000 orang melalui 2,373 hari saringan kesihatan percuma di sekitar negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara.
Setiap tahun, YSB memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk menampung kos operasi projek ini yang berfungsi lima hari seminggu, memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar. Dengan adanya bas baharu bernilai RM856,000 ini, yang merupakan sumbangan gabungan Lions Club International Foundation, YSB, Lions Club of Alor Setar (Host), Lions Club of Langkawi, NKF serta penyumbang individu, kos penyelenggaraan dapat dikurangkan dan perkhidmatan kesihatan dapat dipertingkatkan.
Bas baharu ini menggantikan bas lama yang telah beroperasi lebih 15 tahun semenjak tahun 2012, dengan reka bentuk lebih selesa dan teratur bagi menarik lebih ramai masyarakat tampil melakukan pemeriksaan awal dan pencegahan penyakit kronik, khususnya berkaitan buah pinggang.
Selain inisiatif ini, YSB turut melaksanakan pelbagai projek kesihatan lain termasuk menyediakan Bas Derma Darah Bergerak bersama Hospital Sultanah Bahiyah. YSB juga telah meluluskan pembelian sebuah bas derma darah ketiga bernilai RM533,500 yang dijangka siap pada awal tahun 2026 sebagai persediaan tambahan terhadap peningkatan keperluan darah di Wilayah Utara.
Sebagai sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan, YSB sejak 1996 telah memainkan peranan penting dalam bidang kesihatan, pendidikan, kebajikan, pembangunan remaja, hal ehwal wanita dan warga emas. Sepaniang 29 tahun, YSB terus menjadi agen perubahan di Negeri Kedah dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
Hadir sama Pengerusi Projek Kesihatan merangkap Ahli Lembaga Amanah YSB, Datuk Dr Cheng Joo An; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan NKF, Choo Kok Ming; Presiden Lions Club of Alor Setar, Gooi Woon Jinn dan Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Logaraj Ngnanasagaran.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed