
TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 BERI IMPAK BESAR PROMOSI PELANCONGAN DI KEDAH

ALOR SETAR (11.11.2025) – Kerajaan Negeri melihat dengan pengisytiharaan Tahun 2026 sebagai Tahun Melawat Malaysia, ia merupakan satu peluang yang sangat besar kepada Kerajaan Negeri di dalam usaha terus mempromosikan pelancongan Negeri Kedah. Tahun Melawat Kedah 2025 adalah permulaan kepada pelancongan Negeri Kedah di mana semua pihak kerajaan, swasta serta pemain industri disarankan untuk mempromosikan pelancongan Kedah diseluruh dunia melalui media massa, elektronik mahupun digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata pihak Kerajaan Negeri kini semakin rancak melaksanakan usaha membaik pulih, membangunkan serta mengaktifkan destinasi pelancongan baharu di seluruh Kedah antaranya kemudahan lif di Gunung Keriang yang sekian lama terbiar serta Tree Top Walk di Sungai Sedim yang memerlukan pembaikan. Kedua-dua tarikan ini akan diperbaiki dan diberi nafas baharu mulai tahun ini juga agar dapat kembali aktif sebagai destinasi pelancongan pilihan menjelang tahun hadapan.
“Kerajaan Negeri turut giat meneroka destinasi pelancongan baharu untuk diketengahkan kepada umum antaranya yang sedang diusahakan bersama Jabatan Perhutanan adalah bagi memastikan Taman Eko Rimba Sungai Teroi serta pokok mengkundor gergasi berusia lebih 100 tahun dengan ukur lilit sebesar kira-kira 25 pemeluk dewasa di Gunung Jerai dapat dibuka kepada lebih ramai pengunjung yang ingin menikmati keunikan serta keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut selain pengindahan Pantai Leman dan Port Padang Garam di Kuala Kedah turut diberi perhatian.
“Selain itu, hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kedah Tourism Sdn. Bhd. dengan pelbagai agensi dan rakan strategik dalam serta luar negara kini semakin kukuh. Jalinan ini membolehkan Kedah Tourism melaksanakan pelbagai aktiviti promosi pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Setakat ini, Kedah Tourism telah melangkah keluar ke Jepun, Thailand dan Brunei bagi melaksanakan aktiviti promosi secara langsung di sana. Berdasarkan pengalaman tersebut, Kedah Tourism kemudiannya berjaya menganjurkan sendiri program Business to Business (B2B) di Sabah yang memberi peluang kepada 16 syarikat dan agensi pelancongan untuk menyertai sesi berkenaan.
“Ketika ini, sudah ada agensi pelancongan dari Brunei yang menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan Kedah Tourism bagi membawa pelancong mereka ke Kedah manakala bagi sesi B2B di Sabah, telah terjalin hubungan baharu antara pemain industri dari kedua-dua negeri, khususnya dalam kalangan ejen-ejen pelancongan, bagi memperkenalkan Kedah sebagai destinasi terkini di Semenanjung Malaysia selain Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang sebelum ini menjadi pilihan utama pelancong dari Borneo serta luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan lisan oleh ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghafar Saad berkenaan apakah perancangan pihak pelancongan untuk tahun 2026 di mana ianya juga adalah Tahun Melawat Malaysia setelah Program Tahun Melawat Kedah 2025 menghampiri penghujungnya yang begitu berjaya melonjakan aktiviti pelancongan Negeri Kedah dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 (Sidang Bajet 2026) di Dewan Undangan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Salleh berkata pada tahun ini juga beberapa program Familiarisation Trip (FAM Trip) telah diadakan di Kedah, melibatkan hampir 300 peserta terdiri daripada ejen pelancongan, pempengaruh media sosial, dan wakil media dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, China dan Indonesia. Pelaksanaan program ini dijayakan melalui kerjasama erat antara Kedah Tourism dengan beberapa rakan strategik seperti Tourism Malaysia, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Islamic Tourism Centre (ITC) serta Travel4All dari Indonesia.
Hasil daripada segala usaha dan inisiatif yang dijalankan ini akan dapat kita nikmati pada tahun hadapan memandangkan Tahun Melawat Malaysia 2026 juga akan berlangsung pada tahun hadapan. Selain memperkukuh promosi di dalam dan luar negara, Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan lebih banyak produk pelancongan baharu dapat diperkenalkan dan diketengahkan kepada para pengunjung yang datang ke Kedah,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed