
KERAJAAN NEGERI BUAT PEMANTAUAN PASTIKAN PROJEK RTB SIAP PADA MASA DITETAPKAN

ALOR SETAR (11.11.2025) – Pemantauan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit (RTB SKAB) akan dijalankan bagi memastikan projek disiapkan dalam masa yang ditetapkan dan tindakan akan diambil berdasarkan syarat-syarat kontrak sekiranya terdapat ketidak patuhan dalam pelaksanaan projek.
Tindakan yang dilaksanakan dalam memastikan projek ini siap sepenuhnya dengan kadar segera ialah dengan menjalankan pemantauan dan penyelarasan berterusan. Dalam tempoh penyiapan projek, pihak kerajaan melalui pasukan projek akan bekerjasama dengan JPS Negeri untuk memastikan risiko banjir berada pada tahap yang minimum dan keselamatan penduduk diutamakan dengan bantuan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air Dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata sejumlah sembilan (9) projek RTB akan dilaksanakan pada tahun 2026 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan yang merangkumi satu (1) projek baru di bawah RMKe-13, tujuh (7) projek sambungan di bawah RMKe-12 dan satu (1) projek RTB sambungan dibawah peruntukan Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam memastikan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Projek ini amat penting bagi mengurangkan risiko banjir, melindungi harta benda rakyat serta menjamin keselamatan kawasan yang berisiko tinggi.
“Antara langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan seperti JPS, JKR, PBT, dan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan semua kelulusan teknikal, pelan reka bentuk serta isu utiliti diselesaikan tanpa kelewatan. Pendekatan bersepadu ini membantu mempercepatkan kelulusan kebenaran merancang, pemindahan utiliti dan kelancaran kerja di tapak.
“Dalam masa yang sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan dengan membantu agensi dalam proses pengambilan balik tanah supaya pembinaan tidak terganggu dan berjalan lancar. Pelan mitigasi risiko akan disediakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menghadapi cabaran seperti cuaca tidak menentu atau kekurangan bahan binaan serta pemeriksaan berkala di tapak dilakukan untuk memastikan kualiti kerja menepati spesifikasi reka bentuk yang telah diluluskan.
“Disamping itu, Kerajaan Negeri akan menyokong penstrukturan semula Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah yang merupakan agensi utama dalam perlaksanaan Projek Tebatan Banjir. Penstrukturan semula ini akan memantapkan lagi pelaksanaan projek disamping dapat mengatasi masalah berbangkit sepanjang projek dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawap pertanyaan lisan oleh ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak yang ingin mendapat penjelasan mengenai projek-projek RTB yang akan dilaksanakan di Kedah mulai tahun hadapan dan apakah usaha Kerajaan Negeri untuk pastikan projek-projek tersebut berjalan dengan lancar dan mengikut jadual dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 (Sidang Bajet 2026) di Dewan Undangan Negeri Kedah, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yusuf juga menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri turut melibatkan komuniti setempat dengan mengadakan sesi libat urus bagi menjelaskan tujuan dan manfaat projek. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman masyarakat, malah membantu mengurangkan rungutan dan gangguan sepanjang pelaksanaan projek.
“Kesimpulannya, usaha bersepadu Kerajaan Negeri dalam aspek kerjasama antara agensi, pengurusan risiko dan penglibatan masyarakat amat penting bagi memastikan projek RTB berjalan lancar, siap mengikut jadual dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed