
TERENGGANU KONGSI KEPAKARAN PEMBANGUNAN SUKAN PERMOTORAN

KUALA NERUS (19.12.2025) – Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama delegasi Kerajaan Negeri Kedah mengadakan lawatan kerja ke Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini, semalam.
Menurut Sanusi, lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau secara dekat berkenaan pengurusan serta operasi litar permotoran selain mendapatkan pendedahan berkaitan aspek teknikal dan pengurusan fasiliti sukan permotoran yang berpotensi untuk dijadikan rujukan dan penanda aras bagi pembangunan kemudahan seumpamanya di Negeri Kedah.
“Lawatan ini juga menjadi medan perkongsian amalan terbaik dalam usaha memperkasa pembangunan sukan permotoran dan pengurusan fasiliti sukan bertaraf profesional,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan & Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Ahli Dewan Undangan Gurun, Baddrol Bakhtiar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman.
Sepanjang lawatan, delegasi turut diberikan sesi taklimat teknikal dan pengurusan litar di samping mengadakan lawatan sekitar litar permotoran, penyampaian cenderahati serta sesi bergambar sebagai simbolik hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Semoga dengan lawatan kerja ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak, bukan sahaja kepada negeri Terengganu dan Kedah, bahkan turut menyumbang kepada pembangunan sukan dan kemajuan industri permotoran di seluruh Malaysia.
Sumber Foto : Urusetia Penerangan Darul Iman
Sumber Berita : Warta Kedah

Comments are closed