
PAMERAN ‘KEMBARA UTARA’ DIBUKA SECARA PERCUMA BERMULA ESOK

ALOR SETAR (11.01.2026) – Pameran ‘Kembara Utara’ merupakan projek pameran seni visual melibatkan kerjasama di antara Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Muzium & Galeri Seni Bank Negara Malaysia.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pameran seni ini menghimpunkan karya daripada koleksi Bank Negara Malaysia dan Balai Seni Negeri Kedah. Antara karya-karya yang akan dipamerkan ialah daripada seniman-seniman dari Utara seperti Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak dengan jumlah karya sebanyak 70 buah karya.
“Antara seniman yang ingin ditampilkan adalah seperti lbrahim Hussein, Ismail Zain, Khoo Sui Hoe, Sharifah Fatimah Zubir dan Amron Omar di samping karya para seniman tempatan lain. Pameran ini mengangkat karya-karya seni dengan naratif sosioekonomi melalui landskap, budaya dan perkembangan ekonomi khususnya dari perspektif utara tanah air.
“Matlamat pameran ini bukan sahaja mengetengahkan kekayaan seni tanah air, malah ia dapat meningkatkan pengetahuan serta penghargaan terhadap seni yang mampu menjadi medium pembelajaran tidak formal khususnya meneguhkan lagi jati diri masyarakat Malaysia.
“Pameran ini sekaligus mempromosikan seni dan warisan budaya negara kepada pengunjung serta memberi pencerahan kepada orang ramai mengenai komitmen Bank Negara Malaysia dalam mendukung warisan seni Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Pameran ‘Kembara Utara’ yang dirasmikan oleh Tuanku Raja Muda Kedah di Balai Seni Negeri Kedah di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin dan Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rasheed berkata pameran ini akan berlangsung di Balai Seni Negeri Kedah selama 5 bulan bermula pada 12 Januari 2026 sehingga 12 Mei 2026.
”Waktu operasi pameran ini bermula pada jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang setiap hari secara percuma kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed