
SEMUA PIHAK BERKUASA PERLU BENDUNG AKTIVITI PENJUALAN LOT LIDI – SANUSI

ALOR SETAR (12.01.2026) – Lot lidi dari sudut undang-undang melanggar tiga undang-undang yang berkuatkuasa iaitu Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Rakyat negeri Kedah yang merasa kurang jelas akan sesuatu tranksaksi pembelian tanah, mohon merujuk kepada pejabat tanah yang berdekatan supaya urusan jelas tanpa sebarang syubhah dan Kerajaan Negeri akan memperkasakan penguatkuasaan terhadap lot lidi.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata isu lot lidi ini telah disebutkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri hujung tahun lepas yang asalnya niat hendak mudahkan rakyat memiliki tanah, namun bila tidak dikawal, ianya akan menjadi masalah.
“Lot lidi ini bukan sekadar isu teknikal tetapi merupakan isu keadilan tatkala pembeli menjadi mangsa, pejabat tanah pula menjadi sasaran. Tahun 2026, saya hendak kita lebih berani kata “tidak boleh” daripada kita sibuk baiki masalah yang sepatutnya tidak berlaku pun.
”Tahun ini adalah tahun untuk sama-sama kita iltizam bagi menoktahkan isu lot lidi. Pejabat Tanah Dan Galian Negeri (PTG) dan Pejabat Tanah Dan Galian Daerah (PTD) termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu ambil perhatian dan sama-sama mengkaji permasalahan ini.
“Saya harapkan tidak ada lagi skim lot lidi baharu dan ianya perlu diperkemaskan penguatkuasaan di daerah dan seluruh negeri. PTD atau PBT perlu buat rondaan dan buang iklan-iklan jualan tanah lot yang dipecah secara tidak sah.
“Kita juga harus akur bahawa modus operandi kartel atau sindiket lot lidi ini bergerak secara berkumpulan dalam satu ‘circle’ yang mempunyai matlamat yang sama iaitu keuntungan wang ringgit. Saya mohon pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain untuk turut sama membendung aktiviti penjualan lot lidi.
“Saya sedih jika ada di kalangan orang pejabat tanah sendiri yang menjadi dalang dan pemudah cara kartel dalam mempromosikan lot lidi. Mereka lukis pelan, mereka membuat iklan dan mereka juga yang jual ambil untung atas angin atas alasan tanah kerajaan makin berkurang dan kononnya ini sajalah cara untuk bantu orang memiliki tanah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Amanat Tahun 2026 Menteri Besar Kedah Kepada Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Muhamad Arof Darus dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah, TPj Dato’ Nazli Rashid Sulong.
Dalam perkembangan sama, Sanusi juga turut menyentuh tentang intergriti pentadbiran tanah dimana terdapat banyak godaan mengenai pemilikan yang tidak boleh dinafikan. Hendaklah diingatkan, satu keputusan salah boleh merosakkan reputasi seumur hidup dan jangan gadaikan nama baik dengan habuan sementara.
“Penipuan dalam urusan tanah tidak boleh dilayan dengan lembut sama ada orang luar atau orang dalam, tindakan mesti tegas. Sudah banyak kerajaan kalah dalam kes di mahkamah akibat fraud yang disengajakan yang akan membawa kepada kerugian yang sangat tinggi nilainya.
“Nadi urusan tanah ini terletak kepada laporan am tanah. Sekiranya Penolong Pegawai Tanah (SO) lapor perkara yang betul di tapak, maka betullah keputusan yang dibuat oleh kerajaan dan jangan salah lapor apatah lagi ada niat menipu.
“Pegawai yang bekerja ikut prosedur tak perlu takut kerana integriti dalam Islam adalah nilai teras akhlak yang merangkumi kejujuran, amanah, kepercayaan dan ketaatan kepada perintah Allah SWT. Setiap masa kita perlu merasakan Allah sedang memerhati setiap tindak tanduk kita dan kalau itu pun kita tidak sedar, apakah pantas untuk mengatakan yang kita ini hamba Allah,” tegasnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed