
PERKASA TADBIR URUS PENTADBIRAN AWAM UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT – NORIZAN

PENDANG (20.01.2026) – Anggota Pentadbiran Awam di Negeri Kedah diseru agar sentiasa mengutamakan urusan rakyat bagi menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dan perlu diselesaikan segera.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata perkhidmatan yang terbaik yang telah ditunjukkan oleh anggota Pentadbiran Awam di negeri ini merupakan tunjang kepada kejayaan tadbir urus yang baik ke arah merealisasikan impian Kerajaan Negeri melaksanakan tanggungjawab dan kestabilan hidup rakyat.
“Sumbangan yang telah ditunjukkan oleh penjawat awam di negeri ini telah dibuktikan dengan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat melalui produktiviti, inovasi dan integriti yang baik di semua sektor sehingga Negeri Kedah telah mencapai banyak kejayaan yang tertinggi pada tahun 2025.
“Sebagai Penjawat Awam, kita perlu menyokong dan mendokong segala dasar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta melaksanakannya. Dasar Kerajaan Negeri ada tema dan visinya yang perlu kita patuhi dan laksanakan. Itu adalah salah satu dari ciri-ciri tadbir urus yang baik dan memberi kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Amanat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Bersama Penjawat Awam Daerah Pendang di Dewan Cenderawasih, Majlis Daerah Pendang di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd Sheriff; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) Pendang, Muhammad Hamdi Abdullah Zawawi; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Daerah) merangkap Setiausaha Majlis Daerah Pendang, Norfazni Mustafa; Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah) Pendang, Mohd Zhafri Dato’ Mohd Zohdi dan Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran), Mohamad Syafiq Shalihin Mohamad Noor.
Terdahulu dalam ucapan aluannya, Nasrun berkata tahun 2026 menuntut komitmen serta keazaman yang lebih tinggi daripada seluruh warga perkhidmatan awam, selaras dengan cabaran semasa yang semakin mencabar dan persekitaran pentadbiran yang kian kompleks.
“Setiap penjawat awam hendaklah melaksanakan tugas berdasarkan bidang dan peranan masing-masing dengan penuh disiplin, mengamalkan semangat kebersamaan serta membudayakan cara kerja yang berteraskan tindakan dan pencapaian, bukan sekadar perbincangan semata-mata.
“Saya berharap agar Pentadbiran di Daerah Pendang ini akan terus menghayati nilai integriti, profesionalisme dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, di samping melaksanakan penambahbaikan secara berterusan selaras dengan perkembangan semasa dan keperluan rakyat.
“Dalam menghadapi cabaran semasa dan perubahan landskap perkhidmatan awam, saya menyeru agar kita sentiasa bersedia menerima perubahan, meningkatkan kemahiran serta memanfaatkan kemajuan teknologi bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah lebih cekap, tepat dan mesra rakyat,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed