
PPBM PERLU DIJADIKAN ACARA TAHUNAN BAGI MENGISI ERTI KEMERDEKAAN
JUMAAT (28.08.2026)
ALOR SETAR – Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Anak Bukit dan DUN Suka Menanti telah bekerjasama menganjurkan Program Perarakan Bot Merdeka (PPBM) Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Kampung Alor Madi di sini, hari ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau dimaklumkan bahawa pada awalnya terdapat lebih banyak peserta yang sudah mendaftar, namun apabila jadual program terpaksa diubah ke hari ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, ramai peserta yang terpaksa menarik diri.
”Setiap tahun saya sendiri terasa begitu teruja untuk menyertai perarakan ini. Terima kasih kepada PKWR Anak Bukit dan PKWR Suka Menanti yang telah menjana idea untuk menghidupkan perarakan bot merdeka ini.
”Jika hari ini kita berharap untuk meraikan kemerdekaan tanah air, datuk nenek kita dulu berarak menggunakan perahu untuk pergi berperang. Sungai yang kita susuri inilah yang menjadi saksi perjuangan dan pengorbanan mereka menentang penjajah dalam mempertahankan negeri ini sehingga kita dapat hidup dalam kemerdekaan hari ini.
”Saya ingin menyeru kepada tuan-tuan, khususnya anak-anak muda, jangan kita sekadar berseronok dan bersuka ria meraikan pesta sungai ini, kita perlu ambil tahu apa yang ada di sebalik perarakan bot merdeka yang dicetuskan pada hari ini.
”Kita harus menghayati bahawa program ini bertujuan untuk kita menghayati perjuangan datuk nenek kita yang dahulu, bagaimana sukarnya mereka berjuang untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan. Usaha seperti ini perlu diteruskan dan dijadikan acara tahunan, sekurang-kurangnya untuk membangkitkan semula semangat anak bangsa kita dalam mengisi kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Perarakan Bot Merdeka Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Kampung Alor Madi, Alor Setar, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Anak Bukit, Alor Madi, Alor Ganu dan Suka Menanti merupakan antara lokasi yang paling signifikan dalam penceritaan sejarah Perang Kedah-Siam antara tahun 1821 hingga 1842. Inilah kawasan berlakunya pertempuran paling sengit dan paling teruk diserang oleh tentera Siam selepas Kota Kuala Kedah.
”Alor Ganu adalah markas atau kem tentera Siam, yang merupakan bilik gerakan tentera Siam untuk mengatur serangan. Sungai Anak Bukit atau Sungai Kedah ini dahulu bukan sahaja menjadi laluan, tetapi juga tempat berlakunya banyak pertempuran atau peperangan.
”Sungai Anak Bukit atau Sungai Kedah yang akan kita susuri pada hari ini merakamkan 1,001 cerita sejarah perjuangan bangsa kita dalam menentang penjajah yang berbagai-bagai rupa selama ratusan tahun. Sungai ini mengalir melalui Istana Anak Bukit yang menjadi simbol kedaulatan negeri kita.
”Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada penganjur, PKWR Anak Bukit dan PKWR Suka Menanti serta kepada semua peserta perarakan yang telah menunjukkan semangat yang begitu membara untuk meraikan hari ulang tahun kemerdekaan tanah air kita yang ke-69,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed