
MDP LANCAR APLIKASI ‘goPENDANG’ MUDAHKAN BAYARAN TANPA TUNAI

PENDANG (20.01.2026) – Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk merealisasikan agenda Kedah Cashless, Majlis Daerah Pendang (MDP) telah mengambil inisiatif dengan membangunkan sebuah aplikasi telefon pintar yang membolehkan orang ramai membuat bayaran dan semakan bagi perkhidmatan Majlis Daerah Pendang secara digital.
Aplikasi ini dinamakan ‘goPendang’ yang membawa maksud Pendang Maju ke Hadapan. Huruf G dan O juga merupakan akronim kepada “Government Online” dan “Global Outreach” yang membawa maksud perkhidmatan kerajaan yang beroperasi 24 jam sehari dan boleh diakses di mana sahaja anda berada.
Ini merupakan satu langkah besar ke arah merealisasikan Kedah Cashless, di mana penggunaan wang tunai semakin dikurangkan dan peralihan kepada sistem digital diterima sebagai norma dalam kalangan masyarakat.
Aplikasi ‘goPendang’ bukan sahaja membolehkan orang ramai membuat bayaran cukai pintu, malah turut menyediakan kemudahan untuk membuat bayaran lain seperti sewaan premis, bayaran lesen, bayaran kompaun, serta pelbagai perkhidmatan lain lagi. Semua transaksi ini kini boleh dilakukan melalui satu platform yang mudah, pantas dan selamat.

Di samping itu, aplikasi ini juga memaparkan maklumat berkaitan pelancongan, tempat bersejarah, serta lokasi makanan popular di daerah Pendang, yang secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan. Aplikasi ‘goPendang’ telah berjaya mengutip RM30,000 dalam tempoh 15 hari pertama penggunaan dan jumlah terkumpul setakat ini hampir mencecah RM50,000. Data ini jelas menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap penggunaan aplikasi ‘goPendang’.
Majlis perasmian dan pelancaran Aplikasi ‘goPendang’ telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali di Dewan Cenderawasih, Majlis Daerah Pendang di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd Sheriff; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) Pendang, Muhammad Hamdi Abdullah Zawawi; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Daerah) merangkap Setiausaha Majlis Daerah Pendang, Norfazni binti Mustafa; Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah) Pendang, Mohd Zhafri Dato’ Mohd Zohdi; Penolong Pegawai Daerah (Pendaftaran), Mohamad Syafiq Shalihin Mohamad Noor Dan Ketua Pegawai Eksekutif Pro Office Solution Sdn Bhd, Amir Zahini Sahrim.
Pada hari yang sama, Norizan juga telah mengadakan lawatan dan meninjau Padang Bola Sepak di Stadium Mini Pendang bagi melihat perkembangan projek siraman padang yang rosak kerana cuaca panas dan merasmikan Gelanggang Serbaguna Majlis Daerah Pendang yang terletak berhampiran Stadium Mini tersebut. Gelanggang Serbaguna ini mempunyai tiga (3) petak gelanggang pickerball dan satu (1) petak gelanggang bola jaring untuk kegunaan orang ramai beriadah.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed