
MKK DISARAN JANGAN PILIH KASIH BANTU PENDUDUK KAMPUNG – SANUSI

KUALA KETIL (07.04.2026) – Majlis Ketua Kampung (MKK) bukan sekadar satu struktur pentadbiran di peringkat komuniti tetapi ia adalah institusi kepimpinan yang amat penting dalam membentuk kestabilan, keharmonian dan kemajuan sesebuah kawasan atau kejiranan.
MKK adalah jambatan yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan. Tanggungjawab atau peranannya bukan sahaja menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan, tetapi juga membawa suara, keperluan dan denyut nadi rakyat kepada pihak pentadbiran.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kita di pihak MKK ini seharusnya bercakap kepada penduduk kampung untuk mereka mudah faham dan perlu bekerja bersama ahli kita bukannya bekerja secara berseorangan atau kuasa veto.
”Kita perlu mempertimbangkan semua pandangan semua ahli jawatankuasa dan penduduk kampung apa yang perlu dibuat dalam menambahbaik kampung sebelum membuat keputusan.
”Tunaikan tanggungjawab dengan adil dan saksama. Jika seseorang itu layak terima bantuan Kerajaan dan memang dia memerlukan, berikanlah. Jangan kerana dia itu berlainan warna parti, maka kita tidak membantu dia. Ketidakadilan yang seperti itu tidak saya benarkan.
“Dalam kepimpinan di peringkat Kerajaan Negeri, amalan kita ialah menguruskan sesuatu perkara secara adil, tidak ada pilih kasih sama ada yang berkait dengan kaum, agama atau ideologi politik. Jika orang itu layak, kita beri hak dia mengikut kelayakannya. Kalau dia penyokong parti kita tetapi dia tidak layak, maka kita tidak beri atas sebab dia memang tidak layak.
”Jika dia penyokong parti kita atau adik beradik kita dan memang dia layak, berikanlah. Jangan kerana takut orang mengata kita pilih kasih kerana dia penyokong kita, atau dia ahli keluarga kita, maka kita tidak beri. Itu zalim namanya. Atur mesyuarat bersama dan putuskan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Konvensyen & Majlis Penyerahan Watikah Majlis Ketua Kampung Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026 di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri, Dato’ Siti Ashah Ghazali dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata MMK perlu menyampaikan maklumat yang betul untuk kawasan masing-masing agar mereka faham dan sabar dalam menghadapi cabaran terutamanya berkaitan bekalan air.
“Sekarang maklumat boleh diperolehi melalui Pejabat Daerah dan kini pihak Kerajaan Negeri telah melancarkan Kedah TV yang dapat memberi maklumat berkaitan aktiviti Kerajaan Negeri dan apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed