
SHAS 2026 PUPUK KERJASAMA DAN RASA TANGGUNGJAWAB MEMELIHARA SUMBER AIR NEGARA – SANUSI

LANGKAWI (30.04.2026) – Sambutan Hari Air Sedunia (SHAS) Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 pada kali ini bertemakan “Water and Gender” merupakan satu manifestasi komitmen berterusan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan dan pengurusan sumber air secara lestari.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata melalui pendekatan yang lebih interaktif dan menyeluruh, program ini menggabungkan elemen rekreasi, pendidikan dan penglibatan komuniti agar mesej berkaitan kepentingan air dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
“Program tahunan ini merupakan platform menyatukan semua usaha memperkukuh kerjasama, menyemai rasa tanggungjawab dan memelihara sumber air negara.
“Air adalah anugerah yang tidak ternilai dan ianya memerlukan pengurusan dan kesedaran yang tinggi agar kita dapat berdepan dengan cabaran termasuk kekurangan sumber air serta pencemaran. Oleh itu, setiap kita mempunyai peranan yang signifikan untuk memastikan kelestarian sumber air terus terpelihara.
“Pengurusan sumber air di Negeri Kedah berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks dan memerlukan perhatian bersepadu daripada semua pihak. Negeri Kedah yang terkenal sebagai “Jelapang Padi Negara” sangat bergantung kepada kestabilan bekalan air, khususnya untuk sektor pertanian dan kegunaan domestik. Namun begitu, isu seperti perubahan iklim yang tidak menentu, fenomena kemarau berpanjangan, serta taburan hujan yang tidak sekata telah memberi kesan langsung kepada paras empangan dan aliran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Dataran Cenang, Langkawi di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria: Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syed Amaluddin Hafeez Syed Musa.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata LSANK sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan bekalan air mentah melalui perancangan strategik yang berterusan. Dalam konteks ini, kita memberi penekanan kepada pendekatan inovatif dan berteknologi tinggi bagi memperkukuh sistem pengurusan sumber air negeri.
“Disamping itu, LSANK juga melaksanakan Projek Bekalan Sumber Air Alternatif menerusi dua inisiatif iaitu menaiktaraf telaga dan membina telaga baharu yang melibatkan masjid, surau dan sekolah sebagai Corporate Social Responsibility (CSR) LSANK. Kedua-dua inisiatif ini bertujuan untuk membantu mengatasi isu ketidakcukupan bekalan air di kawasan luar bandar.
“LSANK juga telah mewujudkan pejabat cawangan di Langkawi yang bertempat di Kompleks Pekan Rabu bagi mengawal selia pengurusan sumber air dan melaksanakan penguatkuasaan ke atas aktiviti-aktiviti seperti pengabstrakan air, aktiviti badan perairan dan aktiviti pelepasan efluen.
“Pulau Langkawi dikenali sebagai destinasi pelancongan. Sehubungan itu, terdapat juga aktiviti pelancongan yang berlaku di atas badan perairan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan yang serius bagi menjana hasil kepada negeri. Oleh yang demikian, pendekatan pengurusan sumber air secara bersepadu amat penting bagi memastikan kelestarian sumber air di Negeri Kedah terus terjamin,” ujarnya.
Sumber Foto : Urusetia Penerangan Darul Aman.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed