
KERAJAAN NEGERI UNGGUL TERIMA PENGIKTIRAFAN RKB
ISNIN (29.06.2026)
PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh komitmen terhadap agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dengan menghadiri Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang berlangsung di Dewan Putra B, Putrajaya International Convention Centre (PICC) di sini, semalam.
Majlis anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu diadakan bagi mengiktiraf kejayaan pelaksanaan projek-projek RKB yang telah menyumbang kepada pengurangan kerenah birokrasi, sekali gus meningkatkan kecekapan, produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Selain menjadi platform penghargaan kepada penjawat awam yang berperanan sebagai pemacu reformasi, majlis berkenaan turut menyokong usaha membudayakan inovasi, produktiviti dan penambahbaikan berterusan dalam sektor awam.
Pada majlis tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali menerima Sijil Penghargaan Khas yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai pengiktirafan terhadap komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kedah kerana dapat menyiapkan 17 projek RKB melebihi sasaran iaitu 15 projek selain melaksanakan projek-projek reformasi bagi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong agenda RKB di peringkat negeri.
Turut mencatat kejayaan ialah Majlis Perbandaran Kulim yang menerima Anugerah Khas RKB, menerusi pelaksanaan inisiatif Permit Pembinaan Ekspres (E10) yang diiktiraf sebagai amalan terbaik dalam mempercepat urusan kelulusan berkaitan pembinaan.
Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) masing-masing menerima Sijil Projek Berpotensi Tinggi atas pelaksanaan inisiatif reformasi yang memberi impak positif terhadap penyampaian perkhidmatan. Projek tersebut merangkumi usaha mempercepat proses pembayaran parkir di kawasan MPSPK daripada 30 minit kepada lima minit, mempercepat proses pembayaran sewaan gerai MPSPK daripada lima hari kepada satu hari serta mempercepat proses pengeluaran Lesen Kadar Sementara di MPLBP daripada 129 hari kepada 30 hari.
Pencapaian-pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan agensi-agensi negeri dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan), Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim serta Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Sumber: Warta Kedah
Sumber: Warta Kedah





Comments are closed