
MBAS LANCAR MANUAL “NADI”
AHAD (28.06.2026)
ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperkenalkan Manual New Approval For Development Initiatives (NADI) iaitu pendekatan baharu yang dirangka untuk mempercepatkan dan memudah cara proses kelulusan pelan-pelan kemajuan di kawasan pentadbirannya di daerah Kota Setar dan daerah Pokok Sena.
Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya berkata pelaksanaan NADI oleh MBAS amat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah yang sedang memperkasakan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). Reformasi ini bertujuan mengurangkan kerenah pentadbiran yang tidak perlu, mempercepatkan proses membuat keputusan dan meningkatkan produktiviti sektor awam demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
”MBAS mendaftarkan NADI sebagai projek RKB Tahun 2026 dan manual ini mempunyai enam (6) inisiatif kemudahdayaan kelulusan pembangunan. Ini menunjukkan kesungguhan MBAS untuk bergerak seiring dengan kehendak semasa serta keperluan komuniti perniagaan.
”Antara pencapaian yang membanggakan ialah pengurangan tempoh kelulusan bangunan industri dan komersial daripada 99 hari kepada hanya 27 hari. Begitu juga bagi Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) berisiko rendah yang berjaya dipendekkan daripada 98
hari kepada hanya 14 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Manual “New Approval For Development Initiatives” (NADI), MBAS dan Penyerahan Sijil Kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) kepada Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. di Kilang Singhap (Kedah) Sdn. Bhd., Jalan Kangkong, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohammad Hasbullah Abd Hadi; Ketua WHIP MBAS, Mohammad Riduan Othman; Timbalan Setiausaha MBAS, Azlizam Jaafar Sidik dan Pengarah Singhap (Kedah) Sdn. Bhd., Teh Beng Eong.
Hari ini kita menyaksikan penyerahan Sijil KMTT kepada Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. yang merupakan antara projek terawal yang mengemukakan Permohonan Kebenaran Merancang kepada MBAS hasil daripada pelaksanaan OPS Pemutihan Kilang-Kilang.
Dalam pada itu, Gafar berkata langkah yang diambil oleh pihak syarikat Singhap (Kedah) wajar dijadikan contoh oleh pemilik-pemilik industri dan pengusaha kilang lain dalam memastikan pembangunan yang telah dilaksanakan memperoleh kelulusan perancangan yang sewajarnya serta mematuhi kehendak Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
”Pendekatan yang diambil oleh Singhap (Kedah) Sdn. Bhd. membuktikan bahawa pematuhan terhadap peraturan perancangan bukanlah suatu beban, sebaliknya merupakan satu pelaburan jangka panjang yang memberi kepastian kepada operasi perniagaan, meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong pembangunan yang lebih tersusun.
”Dalam usaha memperkukuhkan budaya pematuhan terhadap peraturan perancangan, MBAS telah bersetuju memberikan peluang kepada pemilik premis industri dan komersial sedia ada seperti bengkel, gudang dan stor untuk mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang sehingga 31 Disember 2026 dengan pertimbangan insentif diskaun kompaun.
”Pendekatan ini bukan bertujuan menggalakkan ketidakpatuhan, sebaliknya memberi ruang dan peluang kepada pemilik premis untuk tampil secara sukarela bagi mengesahkan status pembangunan masing-masing serta mematuhi kehendak perundangan yang berkuat kuasa,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah




Comments are closed