
LEBIH 5,000 RAKYAT KEDAH MERAIKAN ISTIADAT PERBARISAN KEHORMATAN KEPUTERAAN SULTAN KEDAH KE-84




AHAD (05.07.2026)
ALOR SETAR – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat hadir ke Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman Ke-84 di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
Seramai 3,200 orang pelajar daripada 22 buah sekolah menyertai acara Lambaian Kasih Tuanku bagi menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Istiadat dimulakan dengan ketibaan Baginda kira-kira jam 8.30 pagi dengan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja bersama Panji-Panji Rejimen yang diketuai oleh Mejar Muhammad Nasrullah Abdullah.
Kawalan Kehormatan Utama diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Kapten Muhamad Fauzee Japar dan dibantu oleh Sarjan Mohd Shahrilaizad Bakhtiar.
Seterusnya, Pasukan Kawalan Kehormatan menyembah “Hormat Diraja” serta diiringi Lagu “Allah Selamat Sultan” dan tembakan meriam sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (ISTIADAT), yang dipimpin oleh Mejar Hafizan Md Ghani dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (ISTIADAT) Kem Sungai Buluh, Selangor.
Baginda melakukan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan RAMD serta diakhiri dengan lagu “Allah Selamat Sultan”. Istiadat Perbarisan Kehormatan kali ini turut diiringi Persembahan Terbang Lintas Hormat melibatkan dua pesawat EC-120 B dari INSPEN 2 ataupun dikenali sebagai LATIH SAGA dan tiga pesawat PC-7 MK II dari INSPEN 1 dikenali sebagai MAKTAB PERDANA yang diketuai oleh Lt Kol Muhammad Ridzuan Abdullah sebagai Ketua bagi Flypast Controller. Acara terbang lintas juga melibatkan pesawat PC-7 MK II dan juga kibaran bendera Malaysia dan negeri Kedah dari pesawat EC-120 B.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN serta Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Sempena Istiadat Perbarisan Kehormatan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan pada kali ini turut diadakan pameran Aset Ketenteraan oleh 6 RAMD, 3 RAD Amor Diraja dan Rejimen 513 Askar Wataniah dengan mempamerkan aset-aset tentera darat di Perkarangan Dataran Medan Bandar khusus sempena Istiadat Perbarisan Kehormatan Tuanku Sultan Kedah Ke-84 selama dua (2) hari pada 4 Julai dan 5 Julai 2026.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed