
DAYA TARIKAN KEDAH MAMPU MEMPERKUKUH EKONOMI DAN PEMBANGUNAN NEGERI

AHAD (05.07.2026)
ALOR SETAR – Hari ini berlangsungnya Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-84 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata berkat naungan dan pedoman Tuanku, Kerajaan Tuanku berada di landasan yang tepat untuk terus melaksanakan agenda merealisasikan gagasan “The Greater Kedah” bagi memperkukuh ekonomi dan pembangunan negeri walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global berikutan tercetusnya Perang Asia Barat yang masih belum reda sepenuhnya.
”Patik yakin kedudukan strategik negeri serta ekosistem sedia ada akan terus memperkukuh daya tarikan Kedah sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, disokong oleh tadbir urus Kerajaan Tuanku dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang komited dan mesra pelabur.
”Keyakinan ini diterjemahkan melalui prestasi nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM183.7 bilion yang direkodkan dalam tempoh lima tahun iaitu pada tahun 2021 hingga tahun 2025. Keputusan pelabur antarabangsa AT&S dari Austria untuk menambah pelaburan sebanyak RM10 bilion di Kulim Hi-Tech Park baru-baru ini umpamanya, menjadi manifestasi kejayaan tadbir urus Kerajaan Tuanku yang terang lagi nyata.
”Selain Kulim Hi-Tech Park, Kulim Industrial Corridor dan Kedah Rubber City, sukacita patik menyembah maklum bahawa tumpuan utama ketika ini turut diberikan kepada Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ) melalui projek-projek strategik seperti Delapan SBEZ dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) yang telah merekodkan jumlah pelaburan awal bernilai tinggi RM1.4 bilion yang sedang direalisasikan.
”Dalam usaha memastikan pelaburan serta projek berimpak tinggi dapat direalisasikan mengikut perancangan, penyelarasan strategik dan pemantauan berterusan menjadi agenda utama Kerajaan Tuanku melalui Sekretariat The Greater Kedah dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah yang berperanan menjadikan “Kedah Sebagai Negeri Sejahtera Dan Berdaya Huni” menerusi peningkatan hasil negeri dan penciptaan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah Serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Negeri Kedah Ke-84 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.
Berangkat hadir Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff dan Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang dan Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata bagi memastikan rakyat Negeri Kedah dapat merebut ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang terhasil daripada kemasukan pelaburan dan pelaksanaan projek-projek strategik, Kerajaan Tuanku telah melancarkan “Program Kedah Young Professionals” sebagai inisiatif strategik memperkukuh pembangunan modal insan yang akan memberi manfaat kepada 1,000 anak muda di Negeri Kedah.
”Selain itu, Kerajaan Tuanku juga sedang merangka satu dasar halatuju Pembangunan TVET di Kedah melalui Kedah TVET Implementation Roadmap yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026 sebagai persediaan belia Negeri Kedah memenuhi keperluan industri.
”Melalui pelaksanaan dasar pembangunan TVET Negeri Kedah kelak, patik menaruh keyakinan bahawa taraf kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dapat dipertingkatkan. Rakyat bukan sahaja berupaya memperoleh pekerjaan yang lebih baik, bahkan mampu meningkatkan taraf sosioekonomi seisi keluarga,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed