
KEDAH AKAN MENJADI PENERAJU HAB SEKURITI MAKANAN NEGARA
SELASA (28.07.2026)
KUALA MUDA – Selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri melalui agenda The Greater Kedah di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), sektor pertanian akan terus diperkasakan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, pengukuh sekuriti makanan serta sumber pendapatan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata Negeri Kedah amat sinonim sebagai Jelapang Padi Negara. Namun, aspirasi Kerajaan Negeri hari ini adalah lebih besar daripada itu kerana kita mahu menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang menjadi peneraju Hab Sekuriti Makanan Negara, merangkumi pelbagai komoditi strategik seperti padi, buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan dan juga tanaman kelapa.
”Daerah Kuala Muda sendiri mempunyai potensi yang amat besar dalam pembangunan sektor agromakanan selain terkenal sebagai kawasan pengeluaran padi, daerah ini juga merupakan kawasan utama pembangunan tanaman kelapa di Negeri Kedah. Potensi ini memberi keyakinan kepada Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuhkan pembangunan industri kelapa melalui penyediaan bantuan pembangunan, pemindahan teknologi, khidmat nasihat teknikal, penggunaan teknologi moden serta pengukuhan rantaian nilai daripada peringkat pengeluaran sehingga ke pasaran.
”Hari ini juga amat bermakna apabila kita melaksanakan Peluncuran Tanaman Kelapa Peringkat Negeri Kedah 2026. Pemilihan Daerah Kuala Muda sebagai lokasi peluncuran ini bertepatan dengan kedudukan daerah ini sebagai kawasan pengeluaran kelapa utama di Negeri Kedah. Peluncuran ini menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan pembangunan industri kelapa secara lebih tersusun bagi memenuhi keperluan pasaran domestik serta meningkatkan daya saing industri kelapa Negeri Kedah.
”Permintaan terhadap produk berasaskan kelapa seperti santan segar, air kelapa, kelapa muda, minyak kelapa dara serta pelbagai produk hiliran terus meningkat dari semasa ke semasa. Namun begitu, negara kita masih bergantung kepada bekalan kelapa import bagi memenuhi keperluan domestik.
”Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian akan terus memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu memperluaskan penanaman varieti kelapa berkualiti di daerah Kuala Muda, Yan dan Langkawi, kedua memperkasakan industri hiliran agar usahawan bukan sahaja menjual hasil kelapa segar tetapi juga menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah seperti minyak kelapa dara, kerisik, santan segar serta pelbagai produk makanan, minuman dankosmetik berasaskan kelapa dan ketiga memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan teknikal, pembangunan infrastruktur, penggunaan teknologi moden dan sistem logistik supaya keseluruhan rantaian nilai industri kelapa menjadi lebih cekap dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Agrofest Daerah Kuala Muda dan Peluncuran Tanaman Kelapa Peringkat Negeri Kedah 2026 di Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Kuala Muda, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir berkata setiap tanaman mempunyai cabaran tersendiri termasuk ancaman serangga perosak. Bagi tanaman kelapa, antara ancaman utama ialah Kumbang MerahPalma (Red Palm Weevil – RPW) yang boleh menyebabkan kerosakan serius sehingga mengakibatkan kematian pokok kelapa. Sehubungan itu, Jabatan Pertanian Negeri Kedah melalui Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kedah sentiasa melaksanakan pemantauan secara berkala menggunakan perangkap feromon di lokasi-lokasi strategik tanaman kelapa sebagai langkah pengesanan awal terhadap kehadiran perosak ini.
”Berdasarkan hasil pemantauan ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan di daerah Kuala Muda, lokasi tanaman kelapa di Pengkalan Kakap telah disahkan bebas daripada kehadiran Kumbang Merah Palma (RPW). Pengesahan ini merupakan hasil pemantauan berterusan yang dilaksanakan melalui program pemantauan di 14 lokasi melibatkan sembilan daerah di Negeri Kedah.
”Kerajaan Negeri Kedah melalui agenda RMK13 The Greater Kedah akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan sektor agromakanan melalui penggunaan teknologi pintar, pembangunan modal insan, pengukuhan rantaian nilai tambah hiliran. Matlamat akhirnya ialah meningkatkan pendapatan petani, menjamin bekalan makanan serta mewujudkan sektor pertanian yang berdaya tahan.
”Pada hari ini juga kita menyaksikan penyerahan Mock Cheque Insentif Pembangunan Pertanian Tahun 2026 berjumlah RM976,310.00 kepada para usahawan tani Daerah Kuala Muda melibatkan pembangunan tanaman kelapa, tanaman padi, tanaman durian, tanaman sayuran serta industri asas tani. Insentif ini merupakan bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu para petani meningkatkan produktiviti dan memperluaskan peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed