
COLOURS OF MALAYSIA (COM’) SIRI 3 SERLAH KEPELBAGAIAN SENI BUDAYA MALAYSIA
JUMAAT (14.08.2026)
ALOR SETAR – Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” (COM) Siri 3 Tahun 2026 menjadi platform untuk mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan masyarakat Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus berjaya menarik kehadiran ratusan pengunjung.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah ini berkonsepkan Pelbagai Kaum dan Identiti Negeri yang menggabungkan elemen budaya pelbagai kaum serta ciri khas identiti negeri bagi memperlihatkan kekayaan warisan negara.
Persembahan yang dipentaskan melibatkan Kumpulan Kesenian Jabatan, Kumpulan Satelit Seni Budaya JKKN Kedah serta Kumpulan Muzik Dendang Lipur daripada badan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin turut hadir memeriahkan Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” (COM) Siri 3 Tahun 2026 yang berlangsung di pekarangan Menara Alor Setar di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi; Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidi Omar; Pengurus Menara Alor Setar, Azlina Mohd dan Timbalan Pengarah JKKN Kedah, Fariza Ahmad.
Antara persembahan yang disajikan ialah Tarian Siam ‘Chomali’, Tarian Cina ‘Tanglung’, Tarian India ‘Bhangra’, medley tarian rakyat yang menampilkan ‘Ayam Didik’, ‘Kukur Tempurung’ dan ‘Batu Tumbuk’ serta Tarian Orang Asli ‘Hulu Peta’.
Turut dipersembahkan ialah ‘Medley Borneo’, persembahan muzik dan nyanyian oleh Kumpulan Muzik Dendang Lipur, selain persembahan bertemakan pelancongan iaitu ‘Experience Kedah’ dan kempen ‘Visit Malaysia 2026’ (VM2026).
Program turut diserikan dengan sesi interaktif bersama penonton menerusi kuiz seni budaya dengan hadiah yang boleh dituntut di kaunter yang disediakan serta sesi ‘Joget Lambak’ yang mengundang penyertaan ramai pengunjung.
Majlis diakhiri dengan persembahan lagu tema Merdeka 2026, ‘Aku Berjanji’ yang dibawakan bersama oleh semua kumpulan persembahan.
Siri COM telah dilaksanakan sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2026 dengan tema yang berbeza. Siri 1 berlangsung pada 8 Mei di Auditorium JKKN Kedah dengan konsep Identiti Negeri dan Irama Malaysia, manakala Siri 2 berlangsung pada 19 Jun di ICON Yan, Kedah dengan memberikan fokus kepada konsep Pelbagai Kaum.
Penganjuran COM secara keseluruhannya bertujuan menjadikan kumpulan kesenian JKKN sebagai duta kebudayaan negara dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan seni dan warisan, serta menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara untuk menghargai keunikan budaya tempatan.
Sumber : Warta Kedah
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed