
PELAN STRATEGIK CORDOBA OF KEDAH 2026-2030: LONJAK TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGERI
SELASA (18.08.2026)
KUALA KETIL – Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah terus memperkukuh agenda pendidikan negeri menerusi perbincangan dan perancangan strategik bagi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta berteraskan nilai Islam.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, apabila menyebut tentang Cardoba, ia mengingatkan kita kepada sebuah tamadun yang membuktikan bahawa ilmu ialah asas kepada kemajuan sesebuah bangsa. Pada zaman kegemilangannya, Cordoba muncul sebagai kota paling maju di Eropah.
”Inilah semangat yang ingin kita hidupkan semula melalui Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah dan Pelan Strategik Cordoba of Kedah. Kita mahu menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, berkemahiran dan mampu bersaing di pentas dunia.
“Inilah sebabnya Kerajaan Negeri Kedah memilih Cordoba sebagai sumber inspirasi. Kita bukan sekadar mengangkat sebuah nama, tetapi membawa bersama satu falsafah bahawa kegemilangan sesebuah tamadun lahir daripada masyarakat yang menghargai ilmu, memuliakan guru, menggalakkan penyelidikan serta berusaha melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan emosi.
”Kegemilangan Cordoba lahir daripada masyarakatnya yang menghormati ilmu dan para ilmuwan. Kita mahu melahirkan anak-anak Kedah yang bukan sahaja mampu menguasai Al-Quran dan Al-Sunnah, malah turut menguasai bidang sains, teknologi, kecerdasan buatan, ekonomi digital, industri halal dan bidang-bidang baharu yang diperlukan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Penutup Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah yang berlangsung di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah; Naib Canselor UniSHAMS, Profesor Dr. Mohd Amy Azhar Dato’ Mohd Harif dan Pengarah Institut Kajian Strategik Darul Aman (IKTIKAD) UniSHAMS, Dr. Mohd Muslim Salleh.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata pelancaran Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026 hingga 2030 pada hari ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.
”Pelan ini bukan sekadar sebuah dokumen, sebaliknya merupakan komitmen, arah tuju dan usaha untuk menyatukan kekuatan sekolah pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), institusi tahfiz, universiti serta seluruh warga pendidikan dalam satu visi bersama bagi melahirkan Generasi Kedah Al-Abqari.
”Kita mahu membina sistem pendidikan yang holistik yang melahirkan insan berilmu, membina akhlak dan menyediakan generasi untuk menghadapi masa hadapan.
”Semoga kongres ini menjadi medan percambahan ilmu, penyatuan pandangan dan pengukuhan kerjasama dalam memperkasa pendidikan Negeri Kedah,” ujarnya.
Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian dan pelancaran Buku Pelan Strategik Cordoba of Kedah, sekali gus menandakan komitmen serta hala tuju baharu Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pelaksanaan agenda pendidikan dan pembangunan Islam di Kedah.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed