
KERAJAAN NEGERI BERJAYA MELAKSANAKAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI AIR
ISNIN (17.08.2026)
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah hari ini melakar sejarah penting dalam transformasi infrastruktur bekalan air negeri melalui penyelesaian penuh Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kedah. Melalui inisiatif ini, bebanan hutang pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri berjumlah RM1,122 Billion telah berjaya dinovasikan sepenuhnya kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Kejayaan ini disusuli dengan Majlis Penyerahan Geran Pajakan daripada PAAB kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) yang membabitkan 54 Tapak Aset Air di seluruh negeri. Langkah strategik ini membolehkan Kerajaan Negeri dibebaskan sepenuhnya daripada obligasi hutang tersebut, sekali gus membuka ruang fiskal yang lebih luas untuk pembangunan sosioekonomi rakyat Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata penstrukturan semula ini bukan sekadar penyelesaian hutang, tetapi merupakan jaminan kelangsungan bekalan air jangka panjang.
”Dengan sokongan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta kerjasama strategik PAAB-SADA, kita kini mampu membiayai projek infrastruktur kritikal tanpa membebankan kewangan negeri secara langsung.
”Seiring dengan model penstrukturan baharu ini, dua (2) projek bekalan air mega bakal dilaksanakan dengan pembiayaan modal (CAPEX) daripada PAAB yang berjumlah keseluruhan RM1.1 Bilion.
”Projek LRA Sidam Kiri Fasa 1 (Daerah Kuala Muda) ini dilihat kritikal kerana menyokong pembangunan Kedah Aerotropolis, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Hub SLAM, serta memulihkan rizab margin air di daerah Kuala Muda.
”Projek LRA Sungai Karangan Fasa 1 (Daerah Kulim) pula direka untuk memenuhi lonjakan permintaan di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan Koridor Industri Kulim (KIC), serta memastikan kestabilan bekalan air domestik penduduk daerah Kulim,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Taklimat Pembangunan Projek Bekalan Air di Negeri Kedah dan Penyerahan Hakmilik Pajakan Tanah Oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar; Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Dato’ Radzuan Osman; Ketua Pegawai Operasi PAAB, Ir. Abdul Samad Sulaiman; Ketua Pegawai Operasi SADA, Ir. Saiful Azlan Mat Radhi; Yang Dipertua, PBT Taman Perindustrian Kulim Hi-Tech, Sunita Abdul Aziz dan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Dan Tanah Bandar Baharu, Noor Shaadah Ahmad.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memberikan mandat kepada semua Pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat untuk menyegerakan cara urusan pengambilan balik tanah dan kelulusan Kebenaran Merancang bagi memastikan projek ini berjalan mengikut jadual demi kepentingan pelabur dan rakyat.
Melalui semangat kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kemampanan industri air Kedah kini berada di landasan yang tepat untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan visi “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.

Comments are closed