
KERAJAAN NEGERI LULUS RM55 JUTA BINA KOLEJ KEDIAMAN PELAJAR UniSHAMS
SELASA (18.08.2026)
KUALA KETIL – Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kolej Kediaman Pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) berlangsung hari ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh prasarana serta meningkatkan kebajikan mahasiswa universiti berkenaan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata hari ini kita mungkin melihat sebuah tapak pembinaan. Namun, apabila projek ini siap kelak, di tapak inilah akan berdiri sebuah kediaman yang menjadi rumah kedua kepada ribuan anak muda yang datang menuntut ilmu dan membina masa hadapan mereka.
”Majlis pecah tanah pada hari ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar permulaan sebuah projek fizikal. Kita sebenarnya sedang menyediakan ruang untuk ilmu berkembang, membina manusia dan melabur untuk masa depan generasi Negeri Kedah.
”Kita juga tidak boleh melupakan jasa dan legasi Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, mantan Menteri Besar Kedah. Pada zaman pentadbiran beliau, pembangunan kampus tetap di Kuala Ketil diberikan perhatian yang besar dan pemindahan Kolej Universiti Insaniah atau KUIN ke kampus baharu ini diletakkan sebagai antara keutamaan Kerajaan Negeri masa itu.
”Maka amatlah wajar legasi tersebut terus dikenang. Bahkan nama Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sendiri kini diabadikan pada bangunan Canselori UniSHAMS. Pembangunan yang kita mulakan pada hari ini adalah sebahagian daripada kesinambungan legasi tersebut, daripada pembangunan sebuah kampus kepada usaha membina sebuah universiti yang semakin lengkap dan matang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kolej Kediaman Pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Tapak Kolej Kediaman Pelajar UniSHAMS, Kuala Ketil di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa dan Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Dato’ Mohd Harif.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Projek Pembinaan Kolej Kediaman dan Kemudahan Pelajar UniSHAMS dengan kos keseluruhan kira-kira RM55 juta. Projek berkenaan akan menyediakan kemudahan kediaman kepada pelajar lelaki dan perempuan dengan kapasiti sehingga 2,360 orang pada satu-satu masa.
”Sebagai sebuah universiti milik Kerajaan Negeri, kita mahu UniSHAMS terus berkembang bukan sahaja dari segi jumlah pelajar, tetapi juga dari sudut kualiti pendidikan, penyelidikan, pembangunan sahsiah dan sumbangannya kepada masyarakat.
”Apabila jumlah pelajar bertambah, kemudahan universiti juga mesti berkembang. Kita tidak boleh bercakap tentang universiti berkualiti sekiranya mahasiswa tidak mempunyai persekitaran kehidupan yang selesa, selamat dan kondusif.
”Kerajaan Negeri melihat pembangunan UniSHAMS sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi dan sosial Negeri Kedah. Perkembangan universiti mampu membuka peluang pekerjaan, menarik bakat dan kepakaran serta memperkukuh penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed