
APM PERLU DEKATI RAKYAT, PERKASA KHIDMAT MASYARAKAT
SABTU (22.08.2026)
YAN – Penganjuran Karnival Hari Bertemu Pelanggan Angkatan Pertahanan Awam (APM) merupakan karnival tahunan bagi mendekati masyarakat, memperkenalkan fungsi APM, meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan komuniti dan memupuk semangat kesukarelawanan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata penganjuran karnival ini merupakan satu petanda awal yang baik kerana berjaya menghimpunkan semua lapisan masyarakat di daerah ini, malah dari seluruh negeri, untuk bersama-sama memeriahkan karnival yang dianjurkan oleh APM.
”APM Malaysia mempunyai satu visi yang jelas sebagai sebuah agensi kerajaan, iaitu terus mendekati masyarakat. Antara ciri penting dalam usaha mendekati masyarakat ialah kita perlu turun padang dan bertemu secara langsung dengan rakyat.
”Ini merupakan salah satu pendekatan yang menunjukkan bahawa agensi kerajaan sentiasa bersedia untuk mendengar apa-apa keluhan, aduan serta pandangan daripada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Karnival Hari Bertemu Pelanggan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Kedah 2026 yang berlangsung di Pantai Murni Waterfront, Yan di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah APM Negeri Kedah
Leftenan Kolonel Mohd Bukhori Mat Sidik dan Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fuad Che Ani @ Abd Ghani.
Dalam perkembangan sama, Norizan berkata APM turut memainkan peranan penting sebagai sekretariat pengurusan bencana di peringkat daerah dan negeri, khususnya dalam membantu penyelarasan pengurusan bencana bersama jabatan dan agensi berkaitan.
”Di samping itu, melalui perkhidmatan kecemasan menerusi talian 999, APM sentiasa bersedia 24 jam sehari untuk memberikan khidmat kecemasan dan kemanusiaan kepada masyarakat, termasuk ketika berlakunya kemalangan, kecemasan dan bencana.
”Komitmen ini membuktikan bahawa peranan APM amat dekat dengan kehidupan rakyat dan sentiasa diperlukan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
”Sebagai sebuah agensi kerajaan, kita perlu mempunyai empati terhadap masyarakat. Setiap agensi kerajaan perlu meletakkan diri dalam situasi yang dihadapi masyarakat bagi memahami isu, keperluan dan permasalahan yang dihadapi. Dengan adanya empati, kita akan lebih mudah untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat.
“Empati amat penting dalam melaksanakan tugas, di samping dedikasi dan komitmen yang tinggi. Saya yakin setiap penjawat awam sentiasa berdedikasi dalam melaksanakan amanah yang diberikan. Kita juga perlu sentiasa amanah dalam melaksanakan tugas, selain menghargai agensi tempat kita berkhidmat serta masyarakat sebagai penerima perkhidmatan,” ujarnya.
Pelbagai aktiviti menarik turut dijalankan sepanjang karnival, antaranya Merdeka Run APM 2026, pertandingan tarik tali dan memanah. Aktiviti tersebut bukan sahaja memeriahkan karnival, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi serta menambah ilmu dan pengalaman.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed