
SULTAN KEDAH RASMI MASJID JAMI’UL KHAIR, PADANG TERAP

JUMAAT (17.07.2026)
PADANG TERAP – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli berangkat hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Jami’ul Khair, Kariah Tong Pelu, Daerah Padang Terap sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah Ke-84.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat berkata sesungguhnya Majlis Perasmian Masjid ini, ibarat anugerah kegembiraan yang amat bermakna lagi bersejarah bagi masyarakat di Daerah Padang Terap, khususnya bagi penduduk di Kampung Tong Pelu ini dengan keberangkatan Tuanku.
”Permulaan pembinaan masjid ini terdapat empat buah kampung iaitu Kampung Pinang, Kampung Tong Pelu, Kampung Kepala Batas/Banggol Pong dan Kampung Tanjung Luar dengan 578 buah rumah. Masjid Jami’ul Khair, Kampung Tong Pelu ini pada asasnya dibina secara gotong-royong oleh penduduk setempat bermula dari tahun 1953 lagi. Pembinaan masjid lama yang terletak berhampiran Sungai Pedu ini keseluruhannya diperbuat daripada kayu.
”Pada tahun 1963, masjid baru dibina di tapak yang sedia ada dengan konsep separuh gotong-royong dan sumbangan serta wakaf daripada anak-anak kampung. Masjid ini juga mengalami beberapa penambahbaikan pada bahagian bangunan yang sedia ada dan struktur asal bangunan lama dikekalkan.
”Pada 27 Disember 2021 sekali lagi pembinaan baru dibuat bagi menampung kapasiti jemaah yang semakin meningkat dengan penambahan dua kampung baru dan siap sepenuhnya pada tahun 2024. Masjid baru ini mampu menampung seramai 750 orang jemaah pada satu masa.
”Masjid baru ini dibina dengan kos keseluruhan RM3.7 juta dan mendapat peruntukan daripada ICU sebanyak RM3 juta dan RM700 ribu daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) melalui sumbangan Wakaf Tunai. Dalam kawasan kampung ini sekarang terdapat enam buah kampung dengan anggaran penduduk seramai 3,000 orang. Kini Tuan Imam yang diamanahkan untuk menguruskan masjid ini ialah Al Fadhil Mohd Khori Idris,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Masjid Jami’ul Khair, Kariah Tong Pelu, Daerah Padang Terap sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah Ke-84 di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Padang Terap, Mohd Noor Ismail dan Pegawai-pegawai Tertinggi Negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata Kerajaan Negeri Kedah sentiasa memberikan perhatian kepada masjid-masjid terutamanya isu-isu yang memerlukan pembaikan fizikal, pembinaan tandas, penurapan jalan, pembaikan bumbung, isu-isu status tanah dan isu-isu berkaitan yang dilaporkan oleh Pegawai Daerah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah mahupun Pegawai Agama Daerah.
”Patik yakin kerjasama erat antara semua agensi Kerajaan bersama masjid-masjid dalam Daerah Padang Terap akan memantapkan institusi masjid sebagai lambang keutuhan Agama Islam di Negeri Kedah Darul Aman khususnya dan Malaysia amnya.
”Selain berfungsi sebagai institusi rumah ibadat, masjid juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat melalui pelbagai inisiatif seperti menyediakan bantuan kebajikan kepada golongan asnaf, menyediakan aktiviti kelas kemahiran tertentu dan ceramah motivasi kepada para pelajar sekolah.
”Patik juga yakin dengan sempurnanya majlis perasmian masjid ini, maka anak-anak kampung akan lebih bersemangat untuk meneruskan pelbagai aktiviti yang lebih kreatif dan berimpak tinggi di masa hadapan,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Tuanku Sultan Kedah berkenan menyempurnakan Titah Perasmian, menandatangani plak perasmian seterusnya Jamuan Makan Tengahari serta Solat Jumaat.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed