
KEDAH TERUS PELIHARA KHAZANAH HUTAN MELALUI EKSPEDISI SAINTIFIK SIRI KE-5
JUMAAT (31.07.2026)
JITRA – Kedah menjadi platform penting untuk merumuskan hasil kajian dan penemuan saintifik berkaitan biodiversiti serta khazanah alam semula jadi, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ekosistem hutan kepada kelestarian alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata tujuan utama pelaksanaan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Siri Ke-5 di Hutan Simpan Bukit Perangin ini adalah untuk mengumpul maklumat-maklumat seperti geologi, kepelbagaian biologi, sosio-ekonomi dan ekopelancongan daripada kawasan-kawasan semula jadi khususnya dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.
”Ekspedisi saintifik ini merupakan satu platform kepada kumpulan pakar dan penyelidik untuk membentang dan membincangkan hasil penemuan kajian dalam aspek fizikal kawasan, sumber biodiversiti dan produk ekopelancongan yang diperolehi di Hutan Simpan Bukit Perangin.
”Kita dapat memperkaya dan mengemaskini gedung ilmu dan pendokumentasian tentang biodiversiti yang masih banyak tersimpan dan belum diterokai. Pada masa yang sama, ianya menggalakkan jaringan kerjasama penyelidikan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), agensi penyelidik Kerajaan, agensi teknikal Kerajaan dan saintis-saintis rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Bukit Perangin Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Utama, Kem Paya Pahlawan di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Othman Deris; Pengarah Bahagian Silvikultur dan Pemeliharaan Biologi Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dr. Aldrich Richard; Pegawai Daerah dan Tanah Kubang Pasu, Amirah Khairiah Abdul Latip dan Pensyarah Kanan Pakar Bidang Taksonomi Tumbuhan dan Ekologi Hutan Universiti Kebangsaan Malaysia (Selaku Ketua Ekspedisi), Dr. Ahmad Fitri Zohari.
Dalam perkembangan sama, Yusoff berkata fokus utama dalam ekspedisi saintifik ini telah meliputi aspek geologi, kepelbagaian biologi, sosio-ekonomi dan ekopelancongan. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan semua telah dapat mengumpul banyak maklumat berkenaan flora dan fauna terutamanya tiga laluan denai yang telah disediakan.
”Sepanjang ekspedisi saintifik ini berlangsung, saya difahamkan bahawa para penyelidik telah meredah hutan,
mendaki bukit, dan menyusuri sungai siang dan malam demi mengumpul data, merekodkan penemuan baharu, serta menilai status kesihatan biodiversiti kita. Pengorbanan masa, tenaga, dan kepakaran yang melangkaui keselesaan fizikal ini amat saya kagumi.
”Data dan maklumat yang dikumpulkan bukan sekadar untuk disimpan di dalam jurnal akademik sahaja tetapi juga ianya turut berfungsi sebagai asas pengurusan hutan yang membantu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah merangka pelan pengurusan hutan secara mampan.
”Selain itu, pemeliharaan spesies yang mengenal pasti spesies endemik atau terancam yang memerlukan perlindungan segera dan potensi Ekopelancongan yang membuka ruang penyelidikan terbuka dalam bidang rekreasi dan tarikan baharu yang boleh memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri.
”Setiap penemuan baharu, sama ada spesies serangga kecil, kulat, mahupun tumbuhan herba yang jarang ditemui, membuktikan bahawa kepelbagaian biologi di Negeri Kedah perlu terus dipelihara daripada sebarang ancaman pencerobohan dan kepupusan.
“Oleh itu, saya menyeru agar semua agensi, institut, badan bukan Kerajaan dan komuniti setempat berganding bahu dan terus diperkukuh jalinan kerjasama bagi pemeliharaan hutan kita. Saya amat berharap agar hasil daripada ekspedisi ini dapat dibukukan atau diterbitkan dalam bentuk yang mudah difahami oleh masyarakat awam, khususnya generasi muda agar mereka menghargai warisan alam ini,” ujarnya.

Comments are closed