
SELURUH RAKYAT KEDAH PERLU MENGHIDUPKAN SUNNAH RASULULLAH DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN – SULTAN KEDAH
SELASA (25.08.2026)
ALOR SETAR – Sambutan Maulidur Rasul setiap tahun diraikan oleh umat Islam seluruh dunia sebagai ruang muhasabah, memperbaiki akhlak serta meneladani sifat kepimpinan dan kasih sayang Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah bahawa setiap kali tibanya Maulidur Rasul, yang seharusnya hadir dalam hati kita bukan sekadar kemeriahan sambutan tetapi rasa rindu yang mendalam kepada Rasul, yang sentiasa mengingati dan mendoakan kesejahteraan umatnya. Kasih sayang Baginda kepada kita merupakan suatu anugerah yang tiada tandingannya.
”Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa masyarakat yang dibina atas dasar kejujuran, amanah, ihsan dan kasih sayang mampu melahirkan sebuah tamadun yang dihormati dunia. Nilai-nilai inilah yang perlu terus diperkukuh dalam diri setiap anggota masyarakat agar ia menjadi benteng untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.
”Sejarah telah membuktikan bahawa keagungan Rasulullah SAW bukan sahaja diakui oleh umat Islam, turut dihormati oleh ramai tokoh dunia.
”Kekuatan sebenar Baginda terletak pada kemurnian akhlak, kasih sayang, kejujuran dan sifat ihsan yang dizahirkan dalam setiap tindakan Baginda. Nilai-nilai inilah yang berjaya menyatukan manusia daripada pelbagai latar belakang sehingga terbina sebuah tamadun yang berteraskan keadilan dan kemanusiaan.
”Hari ini, ketika dunia masih dihimpit dengan pelbagai konflik peperangan, krisis kemanusiaan serta peningkatan budaya kebencian dan perpecahan, umat Islam perlu tampil membawa wajah Islam yang sebenar, iaitu agama yang mengangkat nilai kasih sayang, hikmah dan ihsan.
”Peristiwa yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin dan di beberapa wilayah Islam yang bergolak, menjadi peringatan bahawa keamanan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Dalam keadaan sebegini, umat Islam hendaklah memperkukuh perpaduan, memperbanyakkan doa, menghulurkan bantuan mengikut kemampuan serta terus menjadi contoh akhlak yang baik kepada seluruh masyarakat,” titah Tuanku.
Tuanku bertitah demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 1448H/2026M di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Turut berangkat hadir Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat dan Pengarah JHEAIK, Syeikh Mohamad Subhi Abdullah.
Dalam perkembangan sama, Tuanku bertitah berharap seluruh rakyat Negeri Kedah dapat terus memelihara perpaduan serta keamanan yang telah lama menjadi kekuatan Negeri Kedah Darul Aman. Perbezaan latar belakang, bangsa dan pegangan tidak seharusnya menjadi jurang pemisah, sebaliknya menjadi asas untuk saling memahami dan menghormati. Semangat saling membantu dan bertoleransi hendaklah terus dipupuk demi kesejahteraan negeri yang kita cintai ini.
”Sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Beta mengajak seluruh rakyat bermuhasabah dan memperbaharui azam untuk menghidupkan sunnah Rasulullah dalam setiap aspek kehidupan. Semoga dengan meneladani keperibadian Baginda, kita dikurniakan masyarakat yang lebih berakhlak, bersatu padu, berintegriti dan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
”Beta juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah yang diraikan pada hari ini. Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk terus berbakti dengan penuh keikhlasan,” ujar Tuanku.

Comments are closed