
550 BOT LAJU KAWALAN JAUH WAKILI 6 NEGARA SERTAI KEDAH INTERNATIONAL RC POWERBOAT RACE 2025
PENDANG (15 Jun 2025) – Sebanyak 550 Bot Laju Kawalan Jauh ‘Powerboat’ mewakili enam negara termasuk Malaysia, Brunei, Vietnam, Thailand, Singgapura dan Indonesia telah menyertai pertandingan Kedah International RC Powerboat Race 2025 di Mercu Tanda Tasik Pendang, Pendang Waterfront selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Jun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata RC Powerboat Race ini merupakan satu program Kedah Tourism Sdn. Bhd. yang merupakan sekretariat Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK-2025) dan Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan pertandingan ini salah satu acara tahunan di Negeri Kedah.
“Hari ini adalah hari terakhir Kedah International RC Powerboat Race 2025 di Mercu Tanda Tasik Pendang yang sangat menarik minat dari segi penyertaan yang amat memberangsangkan di mana ianya dapat menarik penyertaan 550 buah bot bertanding iaitu tiga kali ganda dari penyertaan tahun lepas.
“Selain itu, bagi program-program sempena TMK-2025 telah berjalan dengan lancar dan Kerajaan Negeri hari ini tetap mementingkan pelancongan acara. Ini adalah salah satu usaha yang penting bagi menarik lebih ramai pelancong dan pelawat dari dalam dan luar negara untuk datang ke Negeri Kedah di mana pada tahun ini adalah tahun bermula bagi merancakan sektor pelancongan. Oleh itu, pertandingan seumpama ini telah berada dalam kalendar penganjuran TMK-2025.
“Untuk TMK-2025 terdapat sebanyak 170 acara kecil dan besar yang telah dijadualkan berlangsung pada sepanjang tahun ini. Acara-acara yang disenaraikan ini, sebahagiannya akan kita bawa ke tahun hadapan bagi menyokong Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan sama-sama kita menyokong perkara yang baik untuk negara kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dan menyampaikan hadiah-hadiah sempena program Pertandingan Kedah International RC Powerboat Race 2025 di Mercu Tanda Tasik Pendang, Pendang Waterfront di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Pendang, Nasrun Dato’ Mohd Sheriff; Penolong Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Mohd Juwaidi Mahmood dan Pengurus Besar Tourism Kedah, Mohd Zaidy Omar.
International RC Powerboat Race 2025 yang berlangsung selama tiga hari tersebut yang disertai 550 bot pada hari pertama di peringkat saringan dan hanya 100 lebih bot berjaya memasuki peringkat suku akhir dan separuh akhir. Hanya 10 buah bot berjaya memasuki pertandingan di peringkat akhir.
Sebanyak sembilan kelas kategori dipertandingkan iaitu kelas A hingga kelas I dan masing-masing menerima hadiah di tempat pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima bagi setiap kelas dan menerima tropi, hadiah iringan dan wang tunai RM2,000 tempat pertama, RM1,500 di tempat kedua, RM800 bagi tempat ketiga, RM500 tempat keempat dan RM200 tempat kelima bagi setiap kelas.
Pasukan Trang Van Tu dari Vietnam RC Powerboat telah berjaya merangkul hadiah utama ‘Best of the Best’ dan membawa pulang tropi, hadiah iringan dan wang tunai sebanyak RM1,000.00 manakala Abang Kassim Yusuf Kadir dari Petra Jaya RCI telah dipilih sebagai ‘Best of the Worst’ dan menerima sebuah tropi,hadiah iringan dan wang tunai sebanyak RM500.
Sumber Berita : Warta Kedah
Comments are closed