
PBK-2025 WUJUDKAN BUDAYA MEMBACA DALAM SUASANA YANG LEBIH SEGAR, INKLUSIF DAN MESRA MASYARAKAT








KHAMIS (25.09.2025)
SUNGAI PETANI – Penganjuran Pesta Buku Kedah 2025 (PBK-2025) merupakan wadah memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat Kedah. Penggabungan dengan Sempoi Art Festival memberi wajah baharu kepada dunia buku apabila dipadukan dengan seni, budaya, dan kreativiti, sekaligus lebih dekat dengan jiwa generasi muda.
Pengerusi Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata perpustakaan kini tidak lagi terikat sebagai ruang menyimpan buku semata-mata, tetapi berperanan sebagai pusat ilmu, seni dan inovasi. Pesta Buku Kedah 2025 ini menjadi bukti bahawa budaya membaca boleh diraikan dalam suasana yang lebih segar, inklusif dan mesra masyarakat.
“Hari ini, kita menyaksikan satu kelainan. Satu wajah baru yang segar dan satu pentas yang tidak lagi hanya dipenuhi buku, tetapi turut diwarnai seni, muzik, lukisan dan ekspresi kreatif anak-anak muda. Buat pertama kalinya, kita menyatukan dunia ilmu dan dunia seni melalui kolaborasi bersama Sempoi Art Festival.
“Pesta ini adalah medan kekeluargaan, di sinilah ibu bapa boleh memperkenalkan anak-anak kepada dunia buku, di sinilah generasi muda boleh menemukan inspirasi daripada karya seni dan di sinilah kita semua, tanpa mengira latar belakang, boleh berkongsi pengalaman dalam suasana harmoni dan penuh perpaduan.
“Kita akui, dunia hari ini sedang berubah pantas. Media sosial sering menguasai masa lebih daripada bacaan yang membina tetapi melalui pesta ini, kita ingin membawa alternatif yang sihat, ruang yang menyeronokkan, di mana membaca itu bukan paksaan, tetapi pengalaman. Kita mahu masyarakat Kedah menjadi masyarakat yang berfikir kritis, berjiwa kreatif, dan tidak mudah hanyut dalam arus digital tanpa pedoman.
Selain itu, pesta ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut ilmu, tetapi turut membuka peluang ekonomi kreatif. Penerbit, penulis, pelukis, pempengaruh media sosial, penggiat muzik, semuanya berkumpul di sini, berkongsi idea, bakat dan rezeki. Lebih penting, pesta ini juga bersinergi dengan agenda Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Pesta Buku Kedah 2025 di Village Mall, Sungai Petani di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Azizan Hamzah; Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainol Abidin; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria; Timbalan Pengarah Bahagian Gerakan Literasi Maklumat, Perpustakaan Negara Malaysia, Mohd Sharizal Omar dan Pengarah Institut Kemahiran Mara Sungai Petani, Mohd Johari Man @ Osman.
Dalam perkembangan sama, Halimaton berharap Pesta Buku Kedah 2025 bukan sahaja dijadikan acara literasi, tetapi juga tarikan pelancongan yang membawa manfaat ekonomi, sosial, dan budaya kepada negeri ini. Semoga dengan kelainan ini, lahir masyarakat yang bukan sahaja bijak berfikir, tetapi juga halus budi, tinggi kreativiti, dan berbudaya mulia.
“PBK-2025 merupakan Pesta Buku terbesar negeri Kedah yang mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu.
”Pelbagai program dan aktiviti telah dirangka sepanjang tujuh hari berlangsungnya pesta ilmu ini. Pesta ini juga wadah untuk membantu penerbit dan pembekal buku, mengangkat karya-karya agung, memberi penghormatan kepada penulis tempatan, dan membuka ruang kepada masyarakat untuk membaca, berfikir, membedah karya, serta menghormati ilmu yang menjadi asas tamadun,” ujarnya.
Pesta Buku Kedah 2025 yang digandingkan bersama Sempoi Art Festival yang bertemakan Pesta Ilmu Dan Seni ini bakal berlangsung selama tujuh hari, bermula 24 hingga 30 September 2025, dengan pelbagai pengisian menarik untuk segenap lapisan masyarakat dengan menampilkan pelbagai aktiviti antaranya jualan buku oleh penerbit tempatan, sesi bersama penulis, bengkel kreatif, pameran budaya, persembahan seni serta aktiviti interaktif untuk keluarga.
Sumber: Warta Kedah
Comments are closed