
KERAJAAN NEGERI MENGALUKAN KERJASAMA ERAT DENGAN JAKIM DAN MKI DALAM USAHA MEMPERKASA INSTITUSI AGAMA – SANUSI








KHAMIS (25.09.2025)
LANGKAWI – Kerajaan Negeri terus mengiktiraf peranan besar para mufti dan ahli muzakarah dalam memberikan panduan hukum yang tepat, adil dan berlandaskan syariat. Suara ulama perlu terus diperkasa dan dihormati sebagai rujukan utama dalam pelaksanaan dasar di peringkat Negeri mahupun Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kerajaan Negeri Kedah beriltizam memperkukuh Institusi kefatwaan dan mendukung penuh penyelarasan keputusan Muzakarah di peringkat kebangsaan, sebagai langkah memastikan ‘Wehdatul Fikri’ terus subur, sekaligus membina masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan dirahmati Allah.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak JAKIM serta ahli-ahli Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kerana memilih Langkawi sebagai lokasi Muzakarah yang cukup bermakna ini.
“Majlis Mahabbah Ulama dan Umara ini bukan sekadar pertemuan rasmi, malah merupakan wadah penyatuan antara pihak Kerajaan Negeri Kedah dengan ahli Muzakarah MKI serta delegasi bagi mewujudkan jalinan atas dasar-dasar Islam secara harmoni dan dinamik di negara ini. Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited dan mengalu-alukan kerjasama erat dengan JAKIM dan MKI dalam usaha memperkasa institusi agama khususnya dalam pemantapan akidah ummah, hal ehwal kefatwaan, pengurusan hal ehwal Islam serta pembangunan dakwah.
“Dalam konteks negara kita Malaysia, kestabilan pentadbiran agama Islam hanya akan tercapai melalui sinergi dan koordinasi antara negeri dan persekutuan. Oleh itu, segala usaha yang dirancang oleh MKI, akan disokong penuh oleh Kerajaan Negeri Kedah, selagi mana ia selaras dengan Maqasid Syariah dan manfaat untuk umat Islam seluruhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Mawaddah Ulama’ Dan Umara’ Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah (MKI) di Aloft Hotel, Langkawi di sini, hari ini.
Hadir sama Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd. Azam Abdul Samad; Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Dato’ Paduka (Dr.) Nooh Gadot; Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan JAKIM, Ahmad Husaini Mustafa.
Sementara itu, Syeikh Fadzil dalam ucapan aluannya berkata majlis yang diadakan pada malam ini adalah suatu acara yang julung-julung kali diadakan. Majlis ini menghimpunkan dua kelompok penting dalam pentadbiran Islam iaitu para ahli Muzakarah dan pihak Kerajaan Negeri Kedah bagi memperkukuh jalinan ukhuwah serta mengukuhkan persefahaman yang erat.
Pertemuan bersejarah ini mempertemukan pemegang tampuk kepimpinan (umara’) dengan para ulama dalam satu medan yang mendukung peranan masing-masing, selaras dengan tuntutan agama untuk memelihara kesyumulan Islam.
“Sesungguhnya, ulama dan umara’ adalah dua institusi yang saling melengkapi. Ulama menjadi pewaris ilmu dan penyampai petunjuk syariat, manakala umara’ pula memikul amanah kepimpinan serta tanggungjawab besar dalam mengurus hal ehwal umat. Kedua-duanya, apabila berpadu dan seiring langkah, akan menjadi tiang seri yang kukuh dalam memastikan kemaslahatan ummah sentiasa terpelihara, keadilan tertegak, serta kesejahteraan masyarakat terus terjamin.
“Hal ini bertepatan dengan kata-kata hukama’ : “Agama dan kekuasaan adalah saudara kembar. Agama adalah asas, manakala kekuasaan adalah penjaga. Sesuatu yang tiada asas akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan hilang.” Ini bermaksud: ulama menjaga agama melalui ilmu dan fatwa, manakala umara menjaga urusan rakyat dengan kuasa,” ujarnya.
Sumber Foto : Urusetia Penerangan Darul Aman.
Sumber: Warta Kedah
Comments are closed