
NCT INNOSPHERE BAKAL MENARIK PELABUR GLOBAL DAN INDUSTRI GENERASI HADAPAN








ISNIN (29.09.2025)
BUKIT KAYU HITAM – Kumpulan Syarikat NCT (Kumpulan NCT), dengan
kerjasama Northern Gateway (NGX), hari ini mengukuhkan sumbangannya kepada pembangunan infrastruktur perindustrian negara dengan pelancaran NCT Innosphere, sekali gus memperluas portfolio Taman Industri Terurus (MIP) di bawah pengurusan Kumpulan. Projek ini memanfaatkan kepakaran Kumpulan NCT untuk menggabungkan kemajuan teknologi dengan kelestarian alam dalam pembinaan sebuah taman perindustrian yang bakal menarik pelabur global dan industri generasi hadapan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata majlis ini bukan sekadar peluncuran, tetapi satu permulaan era baharu yang akan membawa transformasi besar kepada Bukit Kayu Hitam dan menjadi pencetus perubahan yang signifikan bagi Negeri Kedah. Zon Sempadan Ekonomi Khas Bukit Kayu Hitam, atau SBEZ Bukit Kayu Hitam, membawa harapan besar kita semua untuk melihat wajah baru ekonomi Wilayah Utara yang lebih mapan.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Tuanku Sultan Kedah yang menitahkan agar kawasan sempadan dibangunkan sebagai hab ekonomi strategik dan mampu untuk terus berkembang demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri pada masa hadapan.
“Saya mengambil kesempatan hari ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Kewangan khususnya Northern Gateway yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan pembangunan strategik Delapan. Antara kejayaan besar yang telah dicapai termasuk pembinaan dan pengoperasian Depot Lori dan Pelabuhan Darat yang pertama seumpamanya di Negeri Kedah.
“Lebih membanggakan, Delapan akan menjadi hab pusat data dan kesalinghubungan digital serantau, sesuatu yang dahulunya sukar dibayangkan tetapi akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. Delapan juga kini akan memasuki gelombang ketiga pembangunannya, yang membawa masuk komponen perindustrian pintar dan berteknologi tinggi, sekaligus melengkapkan ekosistem sebagai sebuah zon ekonomi masa hadapan yang benar-benar strategik dan berimpak tinggi.
Peluncuran projek InnoSphere di Delapan hari ini menandakan kesungguhan kita untuk membangunkan Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT InnoSphere (InnoSphere) pertama di Kedah. Kejayaan ini adalah hasil perancangan strategik Northern Gateway dan kepakaran NCT Group, yang akhirnya merealisasikan hasrat Kedah memiliki taman perindustrian elit, sekali gus meningkatkan daya tarikan negeri terhadap pelaburan strategik dan memacu pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Peluncuran
Taman Perindustrian Bersepadu Pintar NCT Innosphere (Innosphere) di Galeri Sasana Delapan, Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Hui Ying; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi Northern Gateway Group, Dato’ Zamzuri Abdul Aziz; Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Dato’ Seri Yap Ngan Choy; Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat NCT, Dato’ Yap Fook Choy dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Northern Gateway (NGX), Razwin Sulairee Hasnan Termizi.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata dalam persekitaran global yang kian mencabar, strategi ‘one size fits all’ tidak lagi relevan. Kedah mesti tampil lebih dinamik, lebih fleksibel, dan bersedia menawarkan pendekatan yang disesuaikan dengan kekuatan tempatan dan keperluan pelabur.
“Kerajaan Negeri komited dan serius untuk menjadikan zon ini sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu. Untuk itu, kita sedia menimbang pemberian keistimewaan tertentu kepada projek-projek pelaburan dan pembangunan di SBEZ Bukit Kayu Hitam termasuk Delapan. Ini bukan sekadar soal menarik pelabur, tetapi membina kerjasama menang-menang dengan keutamaan kita sebagai Kerajaan Negeri sudah tentulah kepada rakyat Kedah.
“Justeru, saya mempelawa semua pelabur, sama ada tempatan mahupun antarabangsa untuk meneroka peluang unik dan strategik yang ditawarkan oleh Delapan dan InnoSphere, gerbang baharu ekonomi serantau.
”Pada masa yang sama, saya juga ingin mengajak anak-anak Kedah untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang bakal terhasil dengan meningkatkan kemahiran dan mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan ini, agar rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama hasil kemajuan yang dicapai,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah
Comments are closed