
WARGA MAIK DISERU PERTAHANKAN TADBIR URUS YANG BAIK AGAR INSTITUSI TERUS RELEVAN DAN DIYAKINI – RAJA MUDA KEDAH

ALOR SETAR (08.01.2026) – Pada tahun 2025 yang telah kita lalui merupakan satu tahun yang penuh dengan ujian dan cabaran di peringkat global dan nasional. Dunia terus berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan, termasuk konflik kemanusiaan yang masih berlarutan di Palestin, ketegangan di beberapa wilayah Asia Barat dan Eropah Timur, serta ketidakseimbangan ekonomi global yang memberi kesan kepada kos sara hidup dan kestabilan sosial masyarakat dunia.
Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin bertitah di peringkat nasional, kita juga turut berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti isu kos sara hidup, tekanan ekonomi golongan berpendapatan rendah, bencana alam seperti banjir dan ribut di beberapa negeri, serta isu-isu sosial dan kefahaman agama dalam masyarakat terus menuntut perhatian serius daripada semua pihak.
“Dalam konteks perundangan dan pentadbiran Islam, beberapa perkembangan penting telah berlaku yang memerlukan penelitian dan kebijaksanaan, khususnya dalam memastikan kedudukan dan peranan institusi Islam terus diperkukuh selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Alhamdulillah, Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan berdaulat. Nikmat keamanan dan keharmonian ini merupakan anugerah Allah yang wajib kita syukuri, pelihara dan pertahankan melalui tadbir urus yang baik, sikap saling menghormati serta pengamalan nilai-nilai Islam yang sebenar.
“Kita kini berada dalam era perubahan teknologi yang amat pantas, termasuk kemunculan kecerdasan buatan atau ‘Artificial Intelligence’ (AI) yang sedang membentuk semula cara kerja, cara berfikir dan cara perkhidmatan disampaikan. Justeru, seluruh warga kerja MAIK perlu peka, bersikap terbuka dan proaktif dalam memahami serta memanfaatkan teknologi semasa, bukan sekadar sebagai pengguna, tetapi sebagai organisasi yang bijak mengurus perubahan.
”Kita perlu memastikan setiap inovasi digital yang diterapkan dapat memperkukuh kecekapan, ketelusan dan keberkesanan tadbir urus agar Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) terus relevan dan diyakini dalam mendepani cabaran masa hadapan.
“Tahun 2026 menandakan permulaan fasa baharu Pelan Strategik MAIK 2026–2030. Pelan ini telah dirangka dengan mengambil kira cabaran semasa dan keperluan masa hadapan, berteraskan enam teras utama yang memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi ummah, pengukuhan akidah dan amalan Islam, pendigitalan perkhidmatan, kecekapan kewangan dan pelaburan, tadbir urus yang berintegriti serta pembangunan modal insan berprestasi tinggi.
“Saya menegaskan bahawa kejayaan pelan strategik ini bukan terletak pada dokumen semata-mata, tetapi bergantung sepenuhnya kepada komitmen, kefahaman dan kesungguhan seluruh warga kerja MAIK dalam menterjemahkannya ke dalam pelaksanaan yang berimpak,” katanya.

Baginda bertitah demikian dalam Majlis Penyampaian Amanat Tahun Baharu 2026 Kepada Kakitangan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di Grand Ballroom, Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Dr. Abd. Ghani@Zulkifli Zainuddin.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Raja Muda turut menyeru agar semua warga kerja MAIK perlu membudayakan sikap ‘mindfulness’ dalam melaksanakan tugas dengan sepenuh jiwa, peka terhadap impak setiap keputusan dan sentiasa bermuhasabah sebelum bertindak.
“Kita mesti menjauhi budaya sambil lewa dan sikap “tidak apa”, kerana daripada situlah bermula kelalaian yang menjejaskan kualiti kerja, integriti dan imej organisasi. Sebaliknya, marilah kita membina budaya kerja yang teliti, bertanggungjawab dan berorientasikan kecemerlangan, agar setiap usaha yang digerakkan benar-benar memberi manfaat kepada ummah dan memartabatkan MAIK sebagai institusi yang diyakini serta dihormati,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed