
KETEGASAN ISU SENSITIVITI AGAMA HARUS DITITIKBERATKAN – SANUSI

ALOR SETAR (03.03.2026) – Kerajaan Negeri Kedah peka akan isu agama bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Ia soal maruah dan harga diri sesebuah agama itu sendiri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata berlegar di sosial media dimana orang bukan Islam memijak kitab suci Al-Quran, merakam dan menyebarkannya di media sosial dimana perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini.
”Islam tidak mengajar bersikap biadab kepada sembahan orang lain selagi mereka tidak bertindak melampau kepada Allah S.W.T. Islam juga mengajar kita untuk tidak menzalimi atau menganiayai orang bukan Islam yang tidak memusuhi kita atas sebab pegangan agama kita.
“Walaupun perbuatan memijak Al-Quran ini sangat melampau dan ia tidak sepatutnya berlaku. Ramai lagi orang bukan Islam yang baik, dan berkawan baik sesama bangsa.
“Bagi mereka yang memegang kuasa, bukan sahaja perlu bertindak tegas, malah perlu menunjukkan ketegasan tersebut. Jika berlakunya kes sebegini, laksanakanlah undang-undang secara tegas, bukan ambil pendekatan menasihati atau membimbing kerana kini bukan lagi masanya.
“Kita menegur bagi tujuan menghidupkan semangat saling menghormati agar perbuatan sebegini tidak berlaku lagi dan hidup dalam suasana harmoni. Berkenaan isu kuil sebelum ini dimana Kerajaan Negeri sentiasa berusaha baik dalam melaksanakan pengurusan dengan cara yang terbaik mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Kedah bersama Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2026 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Zubir Ahmad; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin.
Dalam pada itu, Sanusi turut berkata kita hidup di zaman fitnah berleluasa. Islam dituduh dengan pelbagai tohmahan sedangkan Islam adalah agama yang lengkap sempurna.
”Dalam menghadapi siri-siri ujian ini, kita perlu banyak bersabar dan teguh mempertahankan akidah dan keimanan kita.
“Dalam konteks masyarakat majmuk di Negeri Kedah, kita tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam. Dasar pentadbiran Kerajaan Negeri adalah membawa kesejahteraan kepada semua warga Kedah tanpa mengira kaum, agama atau apa jua perbezaan latar belakang,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed