
BUDAYA MEMBACA MEMPERKUKUH ILMU DALAM KALANGAN MASYARAKAT

ALOR SETAR (23.04.2026) – Bangsa dibina oleh bahasa yang luhur, oleh sastera yang menghidupkan jiwa, dan oleh seni yang memanusiakan manusia. Menerusi tiga asas membaca, menulis dan bertutur, terbina keseluruhan arkitektur pemikiran manusia seperti sastera dan seni.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata program hari ini sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
”Program ini bukan sekadar kolaborasi program, malah menjadi simfoni ilmu dan rasa, pertemuan antara akal dan jiwa yang membentuk naratif baharu dalam lanskap pendidikan negeri ini.
“Namun, kita sedang menyaksikan satu fenomena yang membimbangkan di mana bahasa kehilangan santun, kata kehilangan makna serta kehilangan jiwa dimana medan media sosial menjadi perkataan yang dilontar tanpa timbang tara, bahasa diperlakukan tanpa adab, dan wacana bertukar menjadi kakofoni yang membingitkan.
“Kita hidup dalam dunia yang penuh informasi, tetapi kontang kebijaksanaan kerana sarat dengan hiburan seterusnya tandus nilai kemanusiaan. Kita tak mahu mewariskan kehidupan seperti ini kepada anak-anak kita. Membaca bukan sekadar aktiviti malah ia adalah proses membina jiwa manusia.
”Seorang anak yang membaca bukan sahaja akan menjadi bijak, tetapi akan menjadi lebih berempati, lebih beradab, dan lebih memahami dunia. Oleh itu, kita tidak boleh hanya mendidik anak-anak menjadi pandai tetapi juga perlu mendidik mereka menjadi insan yang baik dan bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Festival Sastera dan Seni Kanak-kanak Kedah X Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia Peringkat Negeri Kedah 2026 di Kompleks City Plaza, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Shahizan Affandi Zakaria; Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah, Arni Nadhirah Abdul Hadi dan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd. Tarmizi Abdul Rani.
Dalam perkembangan sama, Halimaton berkata tema pada tahun ini, #MembacaMenggembirakan dan #MembacaMembinaBangsa, bukan sekadar rangkaian kata yang indah didengar tetapi merupakan falsafah besar dalam membentuk peradaban manusia bermula dari akar umbi.
“Sebab itu, apabila kita mengangkat tema ini, kita sebenarnya sedang mengajak masyarakat untuk kembali kepada asas bahawa perubahan besar dalam negara ini tidak bermula dari atas, tetapi bermula dari halaman demi halaman sebuah buku.
“Melalui penganjuran festival ini, kita berharap dapat menyemai nilai-nilai murni dan kecintaan terhadap pembacaan, seni dan budaya dalam jiwa anak-anak kita sejak usia muda. Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong segala inisiatif yang memartabatkan budaya ilmu, sastera dan seni serta menyokong agenda perpaduan di negara ini,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed