
JEMAAH HAJI KEDAH DISARAN MEMATUHI PERATURAN YANG DITETAPKAN OLEH PIHAK BERKUASA – SULTAN KEDAH

ALOR SETAR (22.04.2026) – Perjalanan teragung haji merupakan satu kewajipan bagi umat Islam yang telah mencapai kemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan keselamatan perjalanan untuk menunaikannya.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah merakamkan ucapan tahniah kepada para jemaah haji dari Negeri Kedah yang terpilih untuk menjadi Tetamu Allah di Tanah Suci, pada tahun ini. Sesungguhnya peluang ini merupakan suatu nikmat dan kurniaan yang amat besar daripada Allah S.W.T.
“Beta percaya ini juga mencerminkan kesungguhan, kesabaran dan ketekunan luar biasa oleh para bakal haji yang telah menabung sejak awal di Tabung Haji dengan penuh disiplin dan istiqamah demi mencapai impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Amalan menabung sejak awal secara konsisten bukan sahaja mencerminkan perancangan kewangan yang bijaksana, malah menjadi bukti bahawa dengan kesabaran, perancangan dan usaha yang berterusan, seseorang itu mampu mencapai keupayaan yang menjadi syarat kewajipan untuk menunaikan ibadah haji.
”Beta berharap semangat ini dapat terus menjadi inspirasi kepada generasi muda umat Islam di negara ini, agar mereka juga mula merancang perjalanan haji mereka sejak awal dengan menjadikan budaya menabung di Tabung Haji, sebagai satu amalan yang berterusan,” titah Tuanku.
Tuanku bertitah demikian sempena Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Negeri Kedah Tahun 1447H/2026M di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Dr Syeikh Fadzil Awang dan Pengarah Urusan Kumpulan TH, Mustakim Mohamad.
Dalam perkembangan sama, Tuanku bertitah bahawa ibadah haji bukan sekadar satu perjalanan fizikal merentasi sempadan negara tetapi merupakan perjalanan rohani yang menuntut keikhlasan, kesabaran, pengorbanan serta keinsafan yang tinggi.
“Oleh itu, Beta berharap agar para jemaah sekalian dapat memanfaatkan kesempatan yang amat berharga ini dengan memperbanyakkan ibadah, menjaga adab dan disiplin serta sentiasa memelihara nama baik negara dan negeri sepanjang berada di Tanah Suci.
”Beta juga menasihatkan para jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada para petugas haji yang telah diamanahkan untuk menyantuni dan menjaga kebajikan sepanjang perjalanan ibadah ini.
”Dalam menunaikan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna, Beta juga berharap agar para jemaah tidak lupa untuk memperbanyakkan doa di Tanah Suci agar Negeri Kedah khususnya dan Malaysia amnya terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan.
“Beta sentiasa mendoakan agar perjalanan semua jemaah haji sentiasa selamat, dipermudahkan segala urusan serta dianugerahkan haji yang mabrur dan kembali ke Tanah Air dalam keadaan sihat, sejahtera serta membawa pulang keberkatan kepada keluarga dan masyarakat,” ujar Tuanku.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed