
5,000 MASYARAKAT SIAM MERAIKAN PERAYAAN PESTA SONGKRAN PERINGKAT NEGERI KEDAH 2026

PEDU (18.04.2026) – Kira-kira 5,000 masyarakat Siam memeriahkan Perayaan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Wat Phikulthararam, Kampung Tanjung, Pedu. Bagi masyarakat Siam, Songkran bukan sekadar pesta air, tetapi ia merupakan Sambutan Tahun Baru Tradisional yang melambangkan permulaan baru, kegembiraan dan penyucian jiwa.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata ini merupakan program anjuran Kerajaan Negeri tiga tahun berturut-turut dalam meraikan perayaan masyarakat Siam di negeri ini.
“Ramai orang mencetuskan isu politik berkenaan penganjuran pesta ini memandangkan sekarang musim kemarau, tetapi kita teruskan pesta ini menggunakan air sungai supaya tiada pihak yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat negeri Kedah dalam meraikan perayaan semua kaum.
“Sebanyak RM40 ribu diperuntukkan untuk Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah dan penambahan RM30 ribu diberikan kepada Wat-wat Siam yang lain di seluruh negeri ini untuk dianjurkan pesta sebegini.
”Dalam persidangan DUN yang lepas, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan sebanyak RM10 ribu untuk diberikan untuk Kelas Bahasa Thai di Wat-wat Siam daerah Padang Terap, Kubang Pasu, Sik dan Pendang.
“Ini merupakan satu usaha daripada Kerajaan Negeri untuk menghargai dan meraikan masyarakat Siam untuk mewariskan Bahasa Siam kepada anak cucu kita selain terus mengamalkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
”Kerajaan Negeri selalu menghargai usaha meraikan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dimana kita sentiasa menghormati dan mengekalkan keharmonian serta perpaduan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Perayaan Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Wat Phikulthararam, Kampung Tanjung, Pedu di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Speaker DUN Kedah merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Masyarakat Siam Kedah, Abdul Razak Khamis; Pegawai Daerah Padang Terap, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad; Setiausaha Persatuan Sami Siam Negeri Kedah/Perlis, Dr. Phramahanikphon @ Mahamat dan Pengerusi Penganjur Pesta Songkran Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026, Prasert A/L Enben.
Dalam memperkukuh persefahaman budaya dalam kalangan masyarakat kita, majlis turut diserikan dengan sumbangan penganjuran Kelas Bahasa Thai kepada Wat-wat Siam di daerah Padang Terap, Kubang Pasu, Sik dan Pendang.
Turut disampaikan adalah Anugerah Khas kepada tiga Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membantu kebajikan dan membanggakan masyarakat Siam setempat iaitu Sukarelawan Kebajikan Masyarakat Siam Kedah, Perlis dan Perak, Boon Song A/L Din Lep; Group Info Kematian Thai dan Siam Semalaysia, Anoon A/L Chean serta Pelajar Cemerlang SPM 2025 (9A), Nakthee A/L Prak Nom.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed