
KERAJAAN NEGERI LANCAR PROGRAM TUISYEN RAKYAT SEJAHTERA 2026 DI 36 DUN KEDAH

SIK (23.04.2026) – Kerajaan Negeri telah mengadakan Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri Kedah bagi meraikan pelajar-pelajar cemerlang bagi peperiksaan tahun 2025 selain melancarkan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera 2026 untuk 36 Dun di kesemua 15 Parlimen di Negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kita mempunyai Tabung Tengku Mahmud untuk membantu pelajar-pelajar miskin untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dimana penyumbang terdiri daripada syarikat korporat dan individu seperti syarikat DXN dan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang telah menyumbang hampir RM10 juta.
”Kita berkumpul hari ini untuk meraikan kegembiraan kita terutama ibu bapa, guru-guru, Jabatan Pendidikan dan masyarakat tentang kejayaan anak-anak Kedah mencapai kejayaan yang hebat dalam peperiksaan lepas.
“Kita menyanjungi orang yang mencintai ilmu sehingga memperoleh kejayaan. Maka Kerajaan Negeri terus berusaha bersungguh-sungguh memperkayakan Tabung Tengku Mahmud bagi membantu kemasukan anak-anak Kedah ke IPT malah ke peringkat yang lebih tinggi.
”Bagi pelajar yang telah berjaya nanti, diharapkan dapat menyumbang semula ke Tabung Tengku Mahmud untuk dinikmati oleh adik-adik kita pula.
“Bagi Tuisyen Rakyat Sejahtera pula, kita akan bantu golongan miskin dan anak yatim di semua DUN agar mereka dapat menuntut ilmu dan mencapai kecemerlangan di masa akan datang.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada para pelajar yang menerima anugerah hari ini. Kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, keazaman, dan sokongan padu daripada ibu bapa, dedikasi guru-guru dan sekolah yang telah membimbing mereka sehingga mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu dan Pelancaran Tuisyen Rakyat Sejahtera 2026 di Dewan Al Hana, Sik di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; ADUN Belantik, Ahmad Sulaiman dan Pegawai Daerah Sik, Faisal Rizal Mohammad.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata Program Tuisyen Rakyat Sejahtera 2026 disediakan untuk pelajar SPM di 36 Dun melibatkan pelajar B40, pelajar SPM untuk 36 buah Sekolah Agama Rakyat dan semua Pelajar STAM 2026.
Program ini akan bermula pada penghujung Mei setiap Jumaat dan Sabtu selama empat minggu. Empat subjek yang diberi fokus ialah subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Program ini merupakan antara inisiatif utama Kerajaan Negeri dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif dan menyeluruh kepada anak-anak Kedah.Usaha ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar, malah turut membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa serta merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed