
FMK 2026 MENDEKATKAN MASYARAKAT DENGAN INDUSTRI PENANAMAN MEMPELAM

ALOR SETAR (02.05.2026) – Penganjuran Fiesta Mempelam Kedah pada tahun ini telah melalui satu transformasi yang signifikan di mana lokasi program telah dipindahkan daripada Pusat Mempelam Kedah di Yan ke Ladang Harumanis D’Aman, Alor Mengkudu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata perubahan ini dibuat dengan tujuan untuk membawa para pengunjung merasai sendiri pengalaman sebenar berada di lapangan seterusnya mendekatkan masyarakat dengan industri penanaman mempelam khususnya Harumanis.
“Industri Harumanis di negeri Kedah terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan hasil kerjasama erat antara pihak kerajaan, agensi berkaitan serta Persatuan Pengusaha Harumanis Negeri Kedah yang sentiasa komited dalam memajukan industri ini.
“Keluasan kawasan tanaman Harumanis bermula tahun 2024 hingga kini (2026) adalah berjumlah 109.37 hektar. Seramai 290 orang pengusaha tanaman mempelam harumanis terlibat di negeri Kedah dengan nilai pengeluaran semusim sebanyak 143,000 kg dengan nilai RM4.29 juta.
“Ini jelas menunjukkan bahawa tanaman Harumanis mempunyai potensi ekonomi yang sangat besar dan mampu menjadi antara penyumbang utama kepada sektor pertanian negeri.
“Lebih membanggakan, jenama Harumanis D’Aman telah berjaya didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 11 April 2023. Pendaftaran ini merupakan satu langkah penting dalam melindungi identiti dan kualiti produk Harumanis Kedah di pasaran selain meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama tempatan yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Fiesta Mempelam Kedah 2026 (FMK 2026) di Ladang Harumanis D’Aman, Simpang Tok Keling, Alor Mengkudu di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pertanian Negeri (Pengembangan), Noor Mazirah Teh dan Pengusaha Harumanis D’Aman, Datuk Mohd Yusof Ismail.
Dalam perkembangan sama, Dzowahir berkata program ini berlangsung selama empat (4) hari, bermula dari 30 April hingga 3 Mei 2026 dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun dari pagi hingga ke malam.
“Antaranya termasuk kursus teknologi pertanian, jualan benih harumanis dan buah-buahan, pertandingan berasaskan mempelam, larian Mempelam Kedah Run, demonstrasi masakan, kuiz interaktif, pameran jabatan dan agensi, serta persembahan malam.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin memaklumkan bahawa satu penyampaian peruntukan pembangunan Negeri Kedah turut diadakan, melibatkan 11 daerah termasuk Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Negeri Kedah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6.425 juta dan penyerahan anak pokok mempelam harum manis kepada penerima sebagai insentif pembangunan di bawah program Tanaman Agromakanan.
“Diharapkan peruntukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuhkan pembangunan sektor pertanian, meningkatkan produktiviti serta membantu para pengusaha tani di seluruh negeri Kedah,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed