
ISTIADAT PERBARISAN DAN MELETAK KALUNGAN BUNGA SEMPENA HARI PAHLAWAN 2026
JUMAAT (31.07.2026)
ALOR SETAR – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli ke Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 di Tugu Peringatan, Jalan Tunku Bendahara di sini, hari ini.
Berangkat hadir sama Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen: Panglima Briged Ke-6, Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman dan Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Adzli Abu Shah.
Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2026 dimulakan apabila Baginda berkenan menerima Sembah Hormat Diraja dan mencemar duli memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 Anggota Lain-lain Pangkat dari Batalion Ke-6, Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang diketuai oleh Mejar Mohd Afiq Mohd Sakri.
Sementara itu, Pancaragam Pengiring adalah dari Pancaragam Gabungan dari Batalion Ke-2 dan Ke-6 Rejimen Askar Melayu DiRaja dipimpin oleh Pegawai Waran 2, Zulkarnain Hashim.
Kontinjen Perbarisan Statik pula terdiri daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Veteran ATM, Persatuan Veteran RAMD, Persatuan Bekas Polis Negeri Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam yang diketuai oleh Unit Rejimen 513 Askar Wataniah, Mejar Fairuz Al-Hafiz Zainuddin.
Majlis yang berlangsung pagi tadi diteruskan dengan tiupan ‘Last Post’ dan persembahan Teater Pendek ‘Ops Daulat’ yang dijayakan oleh anggota-anggota keselamatan yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah.
Baginda kemudiannya mencemar duli bagi meneruskan upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan. Turut diberikan penghormatan meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan adalah Raja Muda Kedah, Wong Chia Zhen wakil kepada Menteri Besar Kedah, Panglima Briged Ke-6, Infantri Malaysia, Ketua Polis Kedah, Komandan Kolej Tentera Udara Alor Setar, Pemangku Panglima Wilayah Laut 3, Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Negeri Kedah dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah.
Selesai Istiadat Meletak Kalungan Bunga, Baginda sekali lagi berkenan menerima Sembah Hormat Diraja dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum berangkat pulang meninggalkan majlis.
Sumber: Warta Kedah

Comments are closed