
PROGRAM JELAJAH ASPIRASI BEBAS DADAH PERKUKUH KOMITMEN LAHIR KOMUNITI SIHAT


RABU (30.07.2026)
BUKIT KAYU HITAM – Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat Kedah Sejahtera menjadi platform memperkukuh komitmen semua pihak dalam membanteras penyalahgunaan dadah serta melahirkan komuniti yang sihat, sejahtera dan bebas daripada ancaman dadah.
Program ini memperlihatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kedah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memperkasakan usaha pencegahan serta membentuk kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkenan berangkat merasmikan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat Kedah Sejahtera yang berlangsung di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Ainah Mohd Soon; Pegawai Daerah Kubang Pasu, Amirah Khairiah Abdul Latip; Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA Malaysia, Ahmad Syaarani Azulan.
Tuanku Raja Muda berkenan menyampaikan titah perasmian, diikuti acara tanda pelancaran sebagai simbolik pelaksanaan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti FELDA Sihat Kedah Sejahtera.
Penganjuran program seumpama ini penting dalam memperkukuh pendekatan pencegahan berasaskan komuniti, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat FELDA supaya bersama-sama memainkan peranan membendung gejala penyalahgunaan dadah.
Kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, kepimpinan masyarakat, keluarga dan komuniti diyakini mampu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat serta menyokong pembentukan generasi yang sihat, produktif dan bebas daripada ancaman dadah.
Usaha bersepadu ini selari dengan aspirasi untuk memastikan komuniti di negeri Kedah terus berada dalam keadaan aman, sihat dan sejahtera melalui penglibatan aktif masyarakat dalam agenda pencegahan penyalahgunaan dadah.
Raja Muda Kedah turut berkenan berangkat mengunjungi dan meninjau reruai pameran serta jualan yang disediakan sepanjang program tersebut sebelum keberangkatan pulang.

Comments are closed