
KHAZANAH HUTAN AKAN TERUS DIURUS DAN DIPELIHARA SECARA LESTARI
ISNIN (24.08.2026)
ALOR SETAR – Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 merupakan program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut serta kawasan pesisiran pantai.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata pemilihan Kedah sebagai lokasi penganjuran Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 merupakan penghormatan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara hutan paya laut.
”Kedah kaya dengan kepelbagaian biologi, khazanah alam semula jadi dan warisan budaya yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi baharu. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan khazanah hutan diurus dan dipelihara secara lestari.
”Berdasarkan rekod terkini, Negeri Kedah mempunyai tanah berhutan seluas 343,921.06 hektar, dengan 99.86 peratus atau 343,465.92 hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Keluasan HSK itu meningkat berbanding 341,881 hektar pada tahun 2021, susulan kejayaan Kerajaan Negeri mewartakan 2,294.38 hektar Tanah Kerajaan sebagai HSK pada 2022, yang melibatkan tujuh kawasan hutan simpan.
”Pewartaan berkenaan meningkatkan keluasan Hutan Paya Laut di Kedah sebanyak 7.6 peratus, daripada 6,201 hektar pada 2021 kepada 6,714.2 hektar kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang telah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria;
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Radhi Chu Abdullah; Ketua Konservator Hutan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Zulkifli Suara dan Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Othman Deris.
Dalam perkembangan sama, Sanusi berkata Kerajaan Negeri Kedah akan terus mempergiat usaha penghijauan menerusi pelbagai program penanaman pokok, termasuk pokok bakau. Kempen Penanaman 2.2 Juta Pokok Peringkat Negeri Kedah yang dilancarkan pada 21 Januari 2025 telah merekodkan penanaman sebanyak 502,510 pokok sehingga kini.
”Pada 23 Ogos 2026, sebanyak 500 pokok bakau telah ditanam di Hutan Simpan Jerlun dengan melibatkan agensi dan komuniti setempat. Sejak 2005, sebanyak 1,716,702 pokok bakau telah ditanam di Kedah meliputi kawasan Hutan Paya Laut, seluas 338.80 hektar.
”Kerajaan Negeri turut menyokong pelaksanaan program CEPA oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan hutan. Selaras dengan tema sambutan pada tahun ini, “Ekosistem Hutan Paya Laut ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru”, Kerajaan Negeri Kedah menekankan peranan hutan paya laut sebagai pemangkin pembangunan ekonomi mampan yang berasaskan sumber marin dan pesisir.
”Kerajaan Negeri Kedah menyokong usaha penyelidikan dan ekspedisi saintifik bagi memperkukuh pengetahuan tentang biodiversiti hutan paya laut. Sebagai contoh, Ekspedisi Saintifik Hutan Paya Laut Merbok pada 2013 telah menghasilkan penerbitan ilmiah yang menjadi rujukan penyelidik, pelajar dan masyarakat, selain membantu perancangan dan pengurusan hutan yang lebih rasional dan lestari.
”Sehubungan itu, usaha penyelidikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan kawasan Hutan Paya Laut sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Sumber : Warta Kedah

Comments are closed