
CITRA MALAYSIA ‘COM’ SIRI 2 SEMARAKKAN SENI BUDAYA PELBAGAI KAUM
JUMAAT (19.06.2026)
YAN – Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” (COM) Siri 2 Tahun 2026 yang berlangsung di ICON Yan telah berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat serta pengunjung luar untuk menyaksikan pelbagai persembahan seni dan budaya yang mencerminkan kepelbagaian warisan Malaysia.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dengan kerjasama Northern Corridor Economic Region (NCER) Wilayah Utara, Kedah Tourism Sdn. Bhd. dan KTAS Resources Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pemeliharaan serta penghayatan warisan budaya negara melalui platform seni persembahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin hadir memeriahkan Program Citra Malaysia ‘Colours of Malaysia’ (COM) Siri 2/2026 yang berlangsung di ICON Yan, Guar Chempedak Kedah di sini, hari ini.
Hadir sama ADUN Guar Chempedak, Abdul Ghaffar Saad; Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fuad Che Ani @ Abd. Ghani; Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi; Pegawai Kebudayaan Pembangunan Produksi & Artistik JKKN Ibu Pejabat, Mohd Zanidizam Mohd Dila dan Wakil NCER Wilayah Utara, Mohd Nor Hazwan Hadzir.
Pelbagai persembahan menarik dipentaskan sepanjang program termasuk tarian pembukaan Medley Jalan Ampas, persembahan Kumpulan Muzik Dendang Lipur, Tarian Mak Inang Tua, Zapin Kuis, Tarian Cina Kipas dan Big Fan, Tarian India Buyung, Tarian Met Ketok serta Joget Uda dan Dara.
Turut diadakan sesi interaktif bersama penonton menerusi kuiz seni budaya dan joget lambak yang berjaya mewujudkan suasana meriah serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kebudayaan.
Program Citra Malaysia ini merupakan program di bawah Bahagian Pembangunan Produksi dan Artistik (PPA), JKNN yang dilaksanakan di seluruh negara sebagai usaha memperkasakan kumpulan kesenian jabatan sebagai duta kebudayaan negara.
Dalam perkembangan sama, program tersebut juga bertujuan menjadikan kompleks JKKN sebagai hab budaya peringkat negeri di samping mempromosikan Malaysia menerusi seni dan budaya kepada pelancong tempatan serta antarabangsa selaras dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan budaya negara.
Siri 2 yang berlangsung di ICON Yan membawa tema kepelbagaian kaum, manakala Siri 1 telah diadakan pada 8 Mei 2026 di Auditorium JKKN Kedah dengan konsep Identiti Negeri dan Irama Malaysia. Siri 3 pula dijadual berlangsung pada 3 Julai 2026 di Menara Alor Setar.
Program diakhiri dengan persembahan penutup sempena Visit Malaysia 2026, tarian interaktif Rasa Sayang serta sesi bergambar bersama pengunjung dan peserta yang mengambil bahagian.
Sumber: Warta Kedah
Sumber: Warta Kedah



Comments are closed