
SULTAN KEDAH MENCEMAR DULI MEMERIAHKAN PROGRAM ALOR SETAR CAR FREE SATURDAY
ALOR SETAR – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli hadir memeriahkan Program Alor Setar Car Free Saturday “Bandaraya Hijau Komuniti Sejahtera” di Dataran Medan Bandar, Alor Setar di sini, hari ini.
Program edisi ketiga yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) ini diadakan pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan yang kali pertama penganjurannya pada 2 Mei 2026.
Setelah keberangkatan tiba Tuanku Sultan Kedah di Dataran Medan Bandar, Baginda dibawa menaiki “buggy” mengelilingi Bandaraya Alor Setar disamping Baginda mencemar duli beramah mesra dengan rakyat jelata yang hadir bagi memeriahkan majlis.
Keberangkatan Baginda juga adalah bersempena dengan Keputeraan Tuanku Sultan Kedah Ke-84 dan turut di hadiri oleh Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin; Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamed Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin; Tunku Puan Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff; Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah Tengku Sarafudin Badlishah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali serta isteri, Datin Seri Norhasni Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Muhamad Mahazi Ibrahim; Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya dan Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Adzli Abu Shah.
Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program ini berlangsung antaranya Pameran Rakan-rakan Kolaborasi MBAS, gerai jualan, senamrobik, kayuhan basikal, Royal Run, briskwalk, Tarian Singa, persembahan pancaragam, persembahan silat, persembahan tarian dan diakhiri dengan Lawatan Diraja ke booth pameran yang disediakan oleh penganjur.
Rakan kolaborasi MBAS, Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH) turut menyambut baik penganjuran program ini dengan menyediakan motosikal elektrik bagi kegunaan pihak Kerajaan Negeri sepanjang program ini berlangsung.
Kira-kira seramai 5,000 orang hadir bagi memeriahkan program ini disamping dapat bertemu dan beramah mesra dengan Tuanku Sultan Kedah dan Keluarga Diraja.
Program yang bermula seawal 7.00 pagi dan diakhiri pada jam 1.00 tengahari ini juga menjemput warga Bandaraya Alor Setar untuk mengurangkan penggunaan karbon dan memberi peluang kepada warga Bandaraya serta sekitarnya melakukan aktiviti yang lebih sihat dan cergas.
Sumber: Warta Kedah



Comments are closed