
PELBAGAI PROGRAM BAHARU BAKAL DISAJIKAN SEMPENA TEMASYA ORANG KEDAH (TOK) 2026
ALOR SETAR – Penganjuran Temasya Orang Kedah 2026 (TOK 2026) akan berlangsung selama empat hari bermula 30 Julai hingga 2 Ogos 2026 bertempat di Perkarangan Stadium Darul Aman bermula seawal 8.00 pagi hingga 12.00 malam anjuran bersama Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata TOK 2026 ini merupakan festival pelancongan budaya yang terbesar di negeri Kedah yang menghimpunkan keunikan seni, budaya, warisan, makanan tradisional dan identiti masyarakat Kedah dalam satu platform.
”Program ini juga turut menyokong agenda Experience Kedah 2026 yang merupakan kesinambungan program Tahun Melawat Kedah 2025 dengan meletakkan Kedah sebagai destinasi pelancongan budaya yang unik dan berdaya saing selain bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
”Selain daripada mempromosikan warisan negeri, TOK 2026 ini turut memberi impak ekonomi kepada usahawan, pengusaha makanan melalui aktiviti-aktiviti jualan dan demonstrasi sepanjang berlangsungnya festival ini.
”Pelbagai pengisian telah diatur oleh pihak kami antaranya Malam Gema Selawat, Malam Kesenian, Citarasa Warisan Orang Kedah, demonstrasi kraftangan dan produk tempatan, Fantastic Foodfest By Kak Nab, permainan tradisional, fun run, pertandingan bakat dan mini pavilion yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO.
”Kesempatan ini saya menyeru kepada seluruh rakyat Kedah termasuklah pelancong dari dalam dan luar negara bersama-sama hadir memeriahkan TOK 2026 dan bersama-sama kita menikmati kekayaan seni, budaya serta warisan negeri Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Pelancongan Budaya: Temasya Orang Kedah (TOK) di Dewan Jamuan Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris; Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NB Group, Nabilah Bahrain.
Dalam perkembangan sama, Salleh berkata TOK 2026 ini merupakan penganjuran kali ke-6 dan pada 2024, program ini diubah ke Perkarangan Stadium Darul Aman dengan sambutan yang sangat memberansangkan.
”Pada tahun ini, terdapat daya tarikan baharu dengan penyertaan daripada sembilan Pejabat Daerah dalam negeri Kedah dan mereka mengenengahkan keunikan makanan, produk warisan dan juga produk pelancongan yang menjadi identiti setiap daerah tersebut,” ujarnya.
Sumber: Warta Kedah


Comments are closed