
PROGRAM KACAU BUBUR ASYURA MENJALINKAN UKHUWAH WARGA PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI
ALOR SETAR – Program Kacau Bubur Asyura anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (KESUKEDAH) berlangsung meriah di Depoh Bas Wisma Darul Aman dengan penyertaan 11 kumpulan daripada pelbagai jabatan di bawah pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Program yang diadakan bersempena bulan Muharam ini bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga pentadbiran negeri menerusi aktiviti gotong-royong memasak Bubur Asyura sebelum diagihkan kepada warga kerja dan masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali yang bersama-sama meluangkan masa meninjau setiap kumpulan yang menyertai aktiviti mengacau Bubur Asyura.
Dalam pertandingan yang diadakan, Pejabat Menteri Besar muncul Johan, manakala Bahagian Kerajaan Tempatan bersama Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah meraih Naib Johan. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi bersama Majlis Sukan Negeri Kedah.
Penganjuran program ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Asyura, malah menjadi platform memperkukuh semangat kerjasama, perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan warga kerja pentadbiran kerajaan negeri melalui budaya gotong-royong yang terus dipelihara.
Sumber: Warta Kedah



Comments are closed